Sunday, February 3, 2008

Pelajar mesti kuat iltizam, berdisiplin untuk berjaya

MEMANG tidak wajar kita membandingkan pelajar 20 atau 30 tahun lalu dengan sekarang. Begitu juga perbezaan guru, ibu bapa dan persekitaran bagi tempoh itu.

Keadaan sudah jauh berbeza, kemunduran suatu waktu dulu dan pembangunan yang amat pesat ketika ini mengubah segala-galanya termasuk sikap manusia.

Minggu lalu saya ke sekolah anak selepas dipanggil guru untuk membincangkan pelbagai program dan usaha bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan tahun ini. Pada majlis itu, guru menyediakan program motivasi bukan saja kepada ibu bapa tetapi juga kepada pelajar berkenaan. Kedua-dua pihak diletakkan di sebuah dewan untuk mendengar ceramah berkenaan.

Sedang ibu bapa celik mata mendengar cerita menarik penceramah motivasi mengenai kehidupannya yang ketika sekolah menengah hanya pelajar biasa dan pada kedudukan corot walaupun tidak paling corot, tapi kini menjadi antara orang yang berjaya.

Namun ceramah motivasi itu langsung tidak menarik minat segelintir pelajar berkenaan. Mereka bukan saja tidak mendengar, malah ada yang tidur dan sengaja membuat 'bunyi' yang amat menyakitkan hati. Kalau dulu lirikan ekor mata ibu atau ayah amat menggerunkan, namun segelintir anak ini langsung tidak mempedulikan ibu bapa yang hadir walaupun sesetengah daripada kami menoleh ke arah mereka.

Sebagai ibu yang menghadiri majlis itu, kita memang bersyukur kerana guru memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai pentingnya pendidikan dan program yang tersusun untuk anak yang akan mengambil peperiksaan besar tahun ini.

Sekurang-kurangnya ibu bapa tahu apa yang perlu dilakukan selepas mendapat penjelasan daripada mereka ter-utama bagi pelajar lemah. Saya tidak pasti sama ada senario pelajar tidak peduli ini berlaku di mana-mana saja. Atau guru sudah tidak kisah jika murid berbuat demikian tanpa menegur perbuatan mereka.

Atau ada cara lain yang perlu guru, sekolah dan ibu bapa sendiri lakukan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak ini. Mungkin kelas motivasi yang lebih keras sesuai bagi pelajar. Inilah sukarnya menjadi guru, serba tak kena. Hendak marah pun susah kalau didiamkan anak murid buat tak tahu dan pelbagai kerenah dan cabaran yang perlu mereka harungi.

Sebagai ibu bapa termasuk saya sendiri, nak ditegur pelajar berkenaan pun berasa sedikit takut. Apa kata nanti mereka tidak mendengar teguran kita dan buat tak tahu. Lebih bimbang jika mereka menjawab teguran kita dengan kasar.

Pada zaman ini semuanya tidak mustahil. Kes pelajar pukul cikgu pun tidak lagi menghairankan. Seingat saya, dulu jika ibu bapa dipanggil ke sekolah, pelajar akan duduk tegak di kerusi masing-masing walaupun mata mengantuk macam mana sekali pun. Itu mungkin cerita dulu yang sudah menjadi klise ketika ini dan anak sudah lali mendengarnya.

Mungkin sebab itu, mereka sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling. Jika melihat kepada tingkah laku pelajar berkenaan, tidak mustahil mereka akan menjadi antara yang tercicir jika tidak disedarkan sejak awal.

Kegagalan pelajaran dan disiplin pelajar tidak boleh disalahkan semuanya ke atas ibu bapa, guru, sekolah dan kementerian tetapi pelajar juga perlu bertanggungjawab. Anak dan remaja sekarang lebih matang kerana semua maklumat terdedah kepada mereka. Mereka hanya perlu mengautnya.

Jadi, sebagai anak walaupun hanya baru mencapai usia remaja jangan pandai menyalahkan orang lain tetapi mesti tahu tanggungjawab sendiri kerana kejayaan masa depan adalah atas usaha sendiri bukan orang lain.

No comments: