Sunday, February 10, 2008

Sistem pendidikan tidak pernah pinggirkan kaum

DATA tahun lepas menunjukkan terdapat 531 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara mengalami masalah kekurangan murid.

Terdapat kurang daripada 150 orang murid belajar di sekolah-sekolah tersebut.
Malah di SJKC Ladang Bukit Keledek, Air Kuning Selatan di Gemenceh, Negeri Sembilan hanya ada empat orang murid.

SJKC Central Hights di Segamat pula terdapat dua orang murid dan tiga guru manakala di SJKC Padang Gajah di Beruas ada dua orang murid dan dua orang guru.

Jika dilihat pada angka-angka tersebut, sudah pasti timbul persoalan mengapa tidak ditutup sahaja sekolah-sekolah berkenaan.

Bukankah lebih baik murid-murid dan guru-guru yang tidak sampai sepuluh bilangannya itu ditempatkan di sekolah lain atau biarkan sahaja mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK).

Biarpun faktanya sedemikian, namun sekolah-sekolah itu dibenarkan untuk terus beroperasi bagi memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat.

Tidak timbul soal menutup sekolah-sekolah berkenaan jauh sekali terlintas di fikiran kerajaan untuk memansuhkan SJKC semata-mata kerana soal angka murid yang sedikit itu.

Ini didorong oleh keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sekolah jenis itu di kawasan-kawasan yang ada penduduk berketurunan Cina.

Terdapat juga kalangan ibu bapa kaum lain termasuk Melayu yang cenderung menghantar anak- anak mereka belajar di SJKC.

Sebab itu seperti yang ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, tidak timbul soal SJKC dipinggirkan jauh sekali ada niat untuk memansuhkannya daripada sistem pendidikan di negara ini.

Malah peruntukan jutaan ringgit untuk membangunkan SJKC serta melengkapkannya dengan pelbagai kemudahan jelas menunjukkan bahawa kerajaan terus mempertahankan sekolah tersebut.

Sesungguhnya agenda pembangunan pendidikan negara tidak pernah mengetepikan SJKC, pun begitu kerajaan tidak boleh memberikan tumpuan kepada sekolah jenis itu semata-mata.

Perlu ada keseimbangan tumpuan kepada SJKC, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan SK bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak tempang.

Jauh lebih penting ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar berjaya mencapai matlamatnya.

Begitu juga dengan usaha menyediakan guru yang bukan sahaja mencukupi malah berkualiti selain berusaha memperbaiki infrastruktur sekolah.

Kesemua usaha itu bertujuan memastikan sekolah di luar bandar dan di bandar mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira sama ada SJKC, SJKT atau SK.

Sesiapa sahaja yang memerlukan pembiayaan akan tetap diberi pembelaan. Bukan sebab aliran kaum tetapi sifat perikemanusiaan bahawa akses ilmu diperlukan oleh semua.

No comments: