Sunday, February 10, 2008

Budaya keintelektualan makin subur

HOLISTIK dalam konteks pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tidak terbatas kepada disiplin ilmu dan pemantapan kemahiran saja, malah turut merangkumi aspek pembangunan minda, spiritual, sahsiah dan etika.

Dengan kata lain, pembangunan modal insan turut memberi tumpuan kepada aspek ‘keinsanan’ yang terbina menerusi falsafah hidup, pegangan agama dan dokongan moral.

Modal insan dengan ciri-ciri itu memenuhi keperluan untuk membolehkan transformasi dan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia secara lebih struktural.

Ciri-ciri itu juga terangkum dalam gagasan minda kelas pertama dari penguasaan dan nilai ilmu martabat tinggi, sikap proaktif, berintegriti, berakhlak luhur, tidak mementingkan diri sendiri dan memberi sumbangan yang bermakna, tidak hanya indah dari segi ‘pelan induk dan perancangan’ saja.

Dalam bidang pendidikan, berdasarkan statistik, bilangan enrolmen dari peringkat sijil hingga Doktor Falsafah (PhD) meningkat menerusi institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Ini ketara dari segi jumlah enrolmen meningkat daripada 574,421 pada 2000 kepada 731,698 pada 2005 dan dijangka mencapai 1,326,340 menjelang 2010. Dari segi peratusan, penambahan enrolmen ini dijangka meningkat daripada 4.5 peratus bagi IPTA dan 5.5 peratus bagi IPTS dalam RMK-8 kepada 16.9 peratus bagi IPTA dan 6.7 peratus bagi IPTS dalam tempoh RMK-9.

Dengan adanya dasar proaktif, dinamisme dan keterbukaan dari segi pembangunan IPT baru dan penaiktarafan status universiti kolej kepada universiti pada 2006, maka kemampuan kita menyediakan peluang peringkat pengajian tinggi nampaknya semakin bertambah dan meluas.

Selain pencapaian tinggi dari segi kuantiti, RMK-9 juga menggariskan strategi untuk memastikan aspek kualiti juga meningkat dari segi komitmen ilmu, kemahiran insaniah, kemahiran kerjaya, gaya hidup dan minda kelas pertama.

Kualiti tidak seharus dibataskan kepada aspek luaran dan terikat kepada petunjuk kuantitatif seperti yang digunakan agensi penarafan atau Times Higher Education Suppliment (THES) yang meletakkan IPT Malaysia di tangga ratusan.

Kualiti perlu dilihat secara lebih holisitik dan tidak diukur dengan neraca angka saja. Yang nyata, tahap perkembangan intelektual di Malaysia bertambah subur dan disegarkan dengan idea, gagasan dan wawasan mantap. Ini dapat ditelusuri menerusi keterbukaan media massa, seperti yang diulas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam minggu lalu.

Selain itu, kita mempunyai pakar dan ahli ilmu dalam hampir setiap disiplin ilmu. Sejak kebelakangan ini ramai tokoh ilmuwan di Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa menerusi pelantikan, khidmat kepakaran, penerbitan dan anugerah.

Hal ini juga ada kaitannya dengan perwatakan, komitmen individu dan inisiatif Datuk Mustapa Mohamed sendiri. Sejak menerajui Kementerian Pengajian Tinggi, beliau meletakkan faktor kualiti sebagai teras untuk menjayakan transformasi pengajian tinggi agar pembangunan modal insan dapat dimartabatkan sebaiknya.

Faktor kualiti juga menjadi penanda aras untuk menilai kemajuan pengajian tinggi agar setanding dengan negara maju. Itulah yang tersurat dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 29 Ogos 2007. PSPTN menyediakan gagasan kukuh dan prasarana yang diperlukan untuk pembangunan minda kelas pertama menerusi persekitaran mesra ilmu, prointelektual dan kualiti berasaskan pencapaian. Minda kelas pertama tidak akan terbentuk dalam persekitaran yang sinonim dengan budaya hedonisme, ‘ampuisme’ dan rasuah.

Maka program integriti diberi tumpuan termasuklah pada peringkat IPT. Minda kelas pertama juga tidak akan bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik semata-mata. Persekitaran yang merangsang pembangunan minda kelas pertama menggariskan ukuran ilmu dan pencapaian kepada kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu.

Untuk itu modul kemahiran insaniah diperkenalkan pada 2006. Pada hemat saya, persekitaran, ruang dan bina upaya yang ada ketika ini adalah peluang paling strategik untuk kita menjayakan transformasi, pembaikan, inovasi, penyelidikan dan reka cipta dalam pelbagai aspek.

Dalam konteks semasa, istilah inovasi, penyelidikan dan reka cipta agak terhad dan nampaknya hanya menjurus kepada bidang sains dan teknologi dalam beberapa universiti awam dan pusat penyelidikan saja. Namun demikian, dalam konteks minda kelas pertama, semua pihak perlu melakukan pembaikan, inovasi, penyelidikan dan reka cipta dalam bidang masing-masing.

Inovasi tidak terbatas kepada disiplin ilmu yang memerlukan pengetahuan pada peringkat PhD dan geran jutaan ringgit. Sejarah sains dan teknologi di Eropah dan sebelumnya dalam tradisi intelektual dunia Islam dulu menunjukkan penemuan penting tidak hanya dilakukan ahli akademik di institusi pengajian tinggi saja, malah oleh golongan pedagang, mekanik dan petani. Antonie van Lewenhook, seorang pedagang gelas misalnya, mereka cipta mikroskop di Belanda. Begitu juga George Stephenson, pencipta lokomotif, yang mulanya bekerja sebagai kontraktor arang batu.

Tokoh Islam seperti Ibnu Sina dan Ar-Razi mempunyai kerjaya sendiri, bukan di menara gading. Sehubungan itu, inisiatif RMK-9 dan PSPTN adalah ‘blueprint’ yang sedang dilaksanakan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti pada semua peringkat. Inisiatif ini juga membuka mata dan minda rakyat agar lebih proaktif, dinamik dan berpengetahuan untuk melakukan pembaikan dan inovasi, di samping pemantapan asas akhlak dan keinsanan yang kukuh.

Inisiatif lain dalam PSPTN seperti memartabatkan lagi pengajian tinggi juga dirangka dari perspektif minda kelas pertama. Sesebuah universiti menjadi ternama bukan kerana pada pahatan nama bertinta emas, untaian sejarah ratusan tahun atau bangunan dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan canggih. Universiti menjadi ternama dan mendapat dokongan dalam dan luar negara kerana kualiti dan tradisi ilmunya yang terbilang, selain sokongan kewangan daripada kerajaan atau dermawan.

Ini membabitkan proses pemantapan ilmu dalam seluruh peringkat komuniti akademia, membabitkan profesor, penyelidik, pelajar dan staf sokongan. PSPTN juga menyediakan kerangka dan ruang untuk membolehkan universiti lebih berautonomi dan mempunyai kebebasan akademik. Dalam konteks semasa, autonomi dan kebebasan akademik bermakna keputusan berkaitan pembangunan dan perancangan bidang akademik seharusnya bebas daripada pengaruh dan desakan faktor luaran, birokrasi yang terlalu mengongkong, partisan, individualisme dan egoisme.

Dalam akademia, nilai ilmu sepatutnya menjadi neraca teratas dalam menentukan setiap keputusan, sama ada dari segi penentuan arah dan strategi pemantapan bidang, kepimpinan akademik, dan hal berkaitan seperti kenaikan pangkat dan pengurusan sumber. PSPTN juga menumpu kepada pengantarabangsaan IPT. Hal ini membabitkan pelbagai program seperti kerjasama penyelidikan, penerbitan, penganjuran seminar, mesyuarat saintifik dan pertukaran pelajar pascasiswazah dengan universiti ternama seluruh dunia.

Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi juga menyediakan biaya besar untuk membolehkan IPT mendapatkan khidmat ahli akademik ternama dalam program ‘brain gain’ sejak 2007. Pada hemat saya, seperti syarahan saya di Institut Teknologi Surabaya, Indonesia pada 25 Januari lalu, langkah strategik paling signifikan yang dimulakan pada 2007 ialah penarafan IPTA menerusi status universiti penyelidikan.

Dimulakan dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), dua buah IPTA lain dijangka akan menyusul tidak lama lagi seperti dirancang dalam RMK-9. Status universiti penyelidikan ini penting untuk membolehkan IPTA berkenaan memberi tumpuan kepada aktiviti penyuburan ilmu menerusi penyelidikan, inovasi dan pengajian siswazah dan tidak lagi terikat kepada pelbagai fungsi lain yang kadang kala menenggelamkan komitmen kepada kesarjanaan.

Dengan itu, kita menyediakan ruang untuk penyuburan ilmu secara lebih terancang dan sedikit sebanyak bersifat elitis. Ini perlu kerana universiti elit mempunyai peranan tersendiri yang sangat penting dalam mencorakkan sesuatu standard, citra dan budaya ilmu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Elit dalam konteks akademik yang saya maksudkan tidak bermakna hanya untuk golongan dan waris tertentu, sebaliknya kepada mereka yang terbaik dan berdaya saing, sama ada staf akademik dan sokongan, serta pelajar.

Demikian persekitaran dan perkembangan akademik di Malaysia yang semakin subur dan terarah. Transformasi pengajian tinggi yang diterajui Mustapa dijangka lebih menyerlah pada penghujung RMK-9. Hal ini bukan saja dirasakan oleh komuniti akademik tempatan malah ‘gempanya’ turut dirasakan di negara jiran sehingga saya diundang oleh rakan di Surabaya untuk berkongsi pengalaman. Yang pasti, sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui kepemimpinan negara, lonjakan berganda semakin ketara dalam dunia akademia tempatan, bukan saja pada petunjuk statistik dan kuantitatif, bahkan komitmen kesarjanaan dan penyuburan minda kelas pertama yang kian memberangsangkan.

Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM merangkap Pengerusi Kumpulan Pakar Negara Membangun bagi Pengurusan Air dan Sisa, Persatuan Air Antarabangsa

No comments: