Wednesday, January 30, 2008

Ulama Islam perlu versatil

WAN MOHAMAD SHEIKH ABDUL AZIZ

UNTUK mencapai Wawasan 2020 sebagai negara yang maju dengan rakyat yang cemerlang dan terbilang, sumber kemanusiaan yang mampu melaksanakan tugas terbaik, berakhlak dan bermoral sangat penting.

Sebagai sebuah negara Islam pula, modal insan yang hendak dan sedang dibangunkan perlulah berteraskan agama dan menuruti kehendak syarak.

Bagaimanapun, adalah suatu kerugian apabila golongan profesional berteraskan agama yang dilahirkan ‘lari’ daripada amanah dan tanggungjawab fardu kifayah global kepada tugasan urusan amalan yang menjadi fardu ain.

Jumlah kurang 1,000 pelajar aliran sains yang menyambung pengajian ke aliran agama bagi mendalami dan memahami sehingga hafaz al-Quran di institusi pengajian tinggi, menunjukkan ia kekurangan besar.

Lebih merugikan apabila golongan profesional ini meninggalkan kepakaran dalam kerjaya yang diceburi untuk memberi tumpuan pada aktiviti keagamaan semata.
Ini didedahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sambil menegur sikap golongan profesional Muslim yang meninggalkan profesion bagi menumpukan pada aktiviti keagamaan, beliau berkata, Jakim memandang serius fenomena tersebut.

Menurutnya, tindakan berhenti kerja untuk membuka kelas-kelas tahfiz dan mengajar agama sepenuh masa adalah kerugian besar kepada agama, bangsa dan negara.
“Ini budaya tahun 60-an dan 70-an dulu. Amalan ini tidak wajar terus berlaku kini dan budaya ini perlu segera dihentikan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Pembangunan Insan di Malaysia anjuran Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar sehari bertema Pembangunan Insan Teras Masyarakat Bertamadun itu dihadiri oleh pelajar dan pengajar institut pengajian tinggi.

Wan Mohammad sebaliknya mengesa golongan lulusan tinggi dalam agama menyambung pengajian mereka dalam bidang-bidang lain kepakaran selain daripada keagamaan.
Katanya, ini penting bagi mewujudkan golongan profesional berwibawa yang berlandaskan cara hidup dan budaya kerja Islam sejati.

“Sekarang kita hanya ada 997 orang sahaja pelajar sains yang belajar dan sambung pembelajaran ke aliran agama sehingga hafaz dan memahami al-Quran,” jelas beliau.
Negara kita, kata Wan Mohamad lagi, memerlukan ahli agama yang mahir dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi serta lebih ramai ahli sains Muslim yang memahami serta hafaz al-Quran untuk melahirkan cendekiawan profesional Islam sejati.

“Kita tidak perlukan golongan profesional untuk mengembangkan amalan-amalan dalam fardu ain kepada masyarakat, kerana ahli agama sudah banyak bagi melaksanakan tugas itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Seminar, Profesor Dr. Ab. Aziz Mohd Zain pula berkata, program itu diadakan dalam usaha menangani masalah ummah dan membantu kerajaan melahirkan modal insan berteraskan Islam yang baik.

Ini kerana kata beliau, dalam dakwah hasil paling penting yang mesti diutamakan ialah kesan dan sifat baik Islam yang boleh ditinggalkan kepada ummah.

“Ramai Muslim yang berjaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing tetapi tidak meninggalkan kesan yang baik ke atas apa yang telah dilaksanakan,” katanya.

Sedangkan tambah Ab. Aziz, tugas dan kerja dakwah ke atas setiap Muslim adalah tanggungjawab bersama dan ini termasuklah membangunkan modal insan yang baik.
Untuk itu tegas beliau lagi, dakwah tertakluk pada perubahan budaya, keadaan dan era yang berlaku sejak zaman para nabi dan rasul perlu diberi keutamaan.

“Tetapi matlamat umum dakwah sudah jelas dan tidak berubah serta tidak perlu diubah,” katanya.

Menurutnya, era pembangunan modal insan dalam dakwah masa kini adalah membangunkan sahsiah kemanusiaan bagi membentuk jati diri yang mampu menangkis sebarang masalah serta boleh mengubah perkara negatif kepada yang positif.

No comments: