Monday, January 14, 2008

Kos pendidikan di Singapura, Indonesia lebih tinggi

BEBERAPA pemimpin persatuan mewakili ibu bapa di negara jiran menyifatkan bayaran bagi pendidikan di negara ini adalah termurah dan terbaik di kalangan negara Asia, malah boleh dikategorikan antara terbaik di dunia.

Presiden Pertubuhan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (Taman Bacaan), Abdul Halim Kader, berkata jika dibandingkan kos pembelajaran di Singapura, ibu bapa di Malaysia sewajarnya berasa lebih bertuah kerana tidak terlalu dibebani bayaran pendidikan tinggi seperti terpaksa dibayar pelajar di republik itu.

“Kebanyakan PIBG sekolah di Malaysia hanya mengenakan bayaran (sumbangan) tahunan RM30 hingga RM50 saja sedangkan di Singapura setiap pelajar perlu membayar hingga RM40 sebulan.

“Malah, di Singapura, ibu bapa perlu membayar sendiri setiap program kelas tambahan dijalankan, berbeza dengan pelajar di Malaysia kerana kebanyakan kelas tambahan di sekolah diberi percuma,” katanya.

Katanya, kos kelas tuisyen di Singapura juga jauh lebih mahal berbanding negara ini kerana ibu bapa perlu membayar hingga RM400 setahun bagi program kelas tambahan anjuran pertubuhan setempat dan RM150 sebulan bagi satu subjek jika mengikuti kelas tuisyen di luar sekolah.

Namun, katanya, berbeza dengan negara ini, di Singapura tiada yuran PIBG dikenakan kerana semua bayaran dikenali sebagai yuran sekolah dan jumlah itulah akan dibahagikan semua program kerjasama antara PIBG dan sekolah.

eliau berkata, ibu bapa di Malaysia nyata sangat beruntung kerana diberi banyak pengecualian yuran tanpa mengira sama ada mereka berada atau sebaliknya.

“Rasanya, belum pernah berlaku dalam mana-mana negara di dunia, Menteri Pelajaran tidak ambil kisah jika ibu bapa tidak mampu membayar yuran. Di Singapura, tak bayar yuran, buku rekod pelajar akan ditahan. Jika memang tidak mampu bayar, ibu bapa perlu membuat rayuan rasmi kepada pengetua sekolah. Di Malaysia, menteri sendiri sebut, tak mampu tak perlu bayar.

“Ia jelas membuktikan kerajaan Malaysia begitu serius memberikan pendidikan terbaik kepada semua rakyatnya tanpa mengira status ekonomi keluarga,” katanya.

Menjelaskan konsep pembayaran yuran di Singapura, pelajar sekolah rendah di sana perlu membayar yuran bulanan sebanyak RM24, manakala bagi pelajar Melayu di sekolah menengah yuran bulanan yang perlu dibayar RM35. Bagi bukan Melayu di sekolah menengah pula, yuran bulanan perlu dibayar sebanyak RM46.

“Apapun masalahnya, setiap bulan ibu bapa perlu membayar yuran sebanyak itu. Jika ada masalah, mereka perlu buat rayuan secara rasmi. Tidak ada konsep bayaran ansuran di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pendidikan Kota Batam Indonesia, Hardi Selamat Hood, berkata ibu bapa di sana perlu membayar RM100 hingga RM150 bagi tujuan pembelian pakaian serta peralatan sekolah kerana pihak sekolah tidak membenarkan sebarang pembelian di luar.

Bagi yuran lain pula, ibu bapa perlu membayar sebanyak RM10 hingga RM15 sebulan bagi sekolah rendah dan RM20 hingga RM35 bagi sekolah menengah.

Justeru, membandingkan jumlah yuran itu dengan kos bayaran tambahan di Malaysia, beliau berkata, pendidikan di negara ini pada dasarnya jauh lebih murah dan dapat dinikmati semua kelompok masyarakat tidak kira miskin atau berada.

BH 14/01/08

No comments: