Wednesday, July 8, 2009

Mansuh PPSMI jejas masa depan anak-anak: Dr Mahathir

Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menjejas masa depan anak-anak, sekali gus menjadikan mereka mangsa kepada keputusan kerajaan itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri itu yang jelas tidak gembira dengan keputusan berkenaan menyifatkannya sebagai tindakan yang akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan dunia sains pada masa depan. "Saya sedih kerana masa depan anak-anak, anak-anak akan jadi mangsa dasar ini," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir diminta mengulas mengenai pemansuhan PPSMI oleh Kementerian Pelajaran berkuatkuasa 2012 di sekolah kebangsaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran hari ini mengumumkan bahawa berikutan keputusan itu, subjek Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu. Muhyiddin berkata, langkah itu sebahagian daripada langkah memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu. Dr Mahathir berkata, usaha memartabatkan Bahasa Melayu tidak akan menyentuh PPSMI berikutan subjek sains dan matematik tidak mempunyai sebarang pertalian dengan pembelajaran bahasa. "Kata mereka ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, tapi di sekolah Cina, mereka guna Bahasa Mandarin dan di sekolah Tamil mereka guna Bahasa Tamil. Lagipun kita tak boleh belajar bahasa melalui Sains dan Matematik. Bahasa mempunyai subjeknya sendiri," katanya. Dr Mahathir dalam sidang akhbar yang sama turut menafikan bahawa beliau bersetuju dan menerima hakikat pemansuhan dasar berkenaan, sekali gus bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin sewaktu mengumumkan perkara berkenaan tengah hari tadi.
"Kerajaan sudah buat keputusan. Saya cuma diberi taklimat, saya cuba beri cadangan, minta kalau tak boleh dibuat semasa sekolah rendah, sekurang-kurangnya di sekolah menengah, tapi mereka tolak dan tak terima. Jadi itu bukan 'consultation', tapi cuma taklimat," katanya. Semasa mengumumkan perkara itu, Muhyiddin berkata Dr Mahathir umumnya menerima hakikat mengenai perlunya dasar itu diubah. Katanya, beliau dan pegawai kanan kementerian itu telah berbincang lebih tiga jam dengan Dr Mahathir bagi menerangkan mengenai kesukaran untuk meneruskan PPSMI, masalah keupayaan guru dan murid menguasai bahasa Inggeris serta jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar, dan antara sekolah kebangsaan dan bukan kebangsaan. "Dr Mahathir umumnya menerima hakikat ini," kata Muhyiddin.

- Bernama

No comments: