Wednesday, June 17, 2009

NUMed ambil pelajar perubatan September

Newcastle University Medicine (NUMed) Malaysia akan memulakan pengambilan pelajar pertama untuk program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS), September depan. Ketua Pegawai Eksekutif NUMed Malaysia, Profesor Reg Jordon, berkata pelajar terbabit akan mengikuti pengajian selama dua tahun pertama di kampus Newcastle University, United Kingdom dan selepas itu mereka akan kembali ke Malaysia untuk meneruskan pengajian di kampus NUMed Malaysia yang dijangka beroperasi mulai 2011, katanya. Newcastle University mengumumkan penubuhan kampus cawangannya yang pertama di luar negara pada November lalu membabitkan pembukaan fakulti perubatan di Iskandar Malaysia.
"NUMed Malaysia menawarkan program ijazah MBBS yang diiktiraf Majlis Perubatan Am (GMC) United Kingdom yang mana program itu bersamaan dengan program lima tahun yang ditawarkan University Newcastle di United Kingdom," katanya di sini, semalam. Jordon berkata, pembukaan NUMed di EduCity@Iskandar akan membolehkan pelajar Malaysia dan serantau untuk meraih ijazah perubatan United Kingdom pada kos yang jauh lebih rendah berbanding mengikuti pengajian di kampus induk Newcastle University. Beliau berkata, kampus cawangan itu akan dilengkapi kemudahan moden dan berteknologi terkini dengan keupayaan untuk menampung kemasukan kira-kira 900 pelajar perubatan.
"Ada perancangan menawarkan pengajian pascasiswazah di kampus ini pada masa depan untuk doktor dari hospital kerajaan dan swasta di rantau ini meneruskan pembangunan profesional mereka," katanya.

No comments: