Monday, September 29, 2008

Ingati warga emas sambut raya bersendirian

Alhamdulillah, 1 Syawal menjelang lagi dan tahun ini merupakan sambutan berganda apabila Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Oktober 2008 yang juga Hari Warga Emas.

Dalam kesibukan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri, terfikirkah kita akan segelintir insan di rumah warga emas dan mereka yang bergelar warga emas di serata negara yang menyambut kedatangan 1 Syawal bersendirian?

Aidilfitri menjadi suatu yang nostalgik dan memori pilu bagi mereka yang ditinggalkan untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan sama ada keseorangan di rumah sendiri mahupun di rumah warga emas. Sepanjang Ramadan, lumrahnya terpampang di dada akhbar gambar dan berita pelbagai pihak, baik korporat atau ahli politik yang menyampaikan derma dan sedekah kepada yang kurang bernasib baik antaranya golongan anak yatim, orang kurang upaya, fakir miskin dan warga tua.

Namun, apabila Syawal menjelma, tiada pula kedengaran berita orang perseorangan atau kumpulan yang mengunjungi mereka di rumah warga emas kerana masing-masing sibuk dengan sambutan raya masing-masing di kampung atau bersama keluarga.

Pernah beberapa wawancara akhbar disiarkan yang memaparkan kisah warga emas menyambut 1 Syawal bersendirian. Namun berapa ramai yang terdetik untuk menyambut Aidilfitri bersama mereka.

Setiap pagi raya, setelah solat Aidilfitri dan menziarahi kubur, ahli keluarga berkumpul di rumah keluarga dan bersalam- salaman dengan semua ahli keluarga daripada yang paling tua hinggalah yang paling muda. Yang berpangkat datuk dan nenek terhibur dengan kunjungan anak dan cucu-cicit di pagi raya.

Setelah bersarapan pagi, mereka keluar beraya ke rumah kaum keluarga dan sahabat handai.
Satu amalan terpuji apabila mengunjungi saudara-mara yang berpangkat datuk atau nenek yang tinggal bersendirian tetapi janganlah pula menyerbu ke rumah mereka dengan konvoi kereta dan minta dilayan seadanya pula!

Fikirkanlah, bagi mereka yang tinggal bersendirian di rumah warga emas, mungkinkah mereka dapat merasai kembali kemeriahan kunjungan anak cucu di pagi raya?

Justeru di hari raya ini, jika ada kesempatan atau apabila lalu di hadapan rumah warga emas semasa keluar beraya, singgahlah untuk beraya bersama mereka.

Wednesday, September 24, 2008

Rombak pengajaran bahasa Inggeris besar-besaran

FAKTOR minat adalah perkara paling penting untuk pelajar "jatuh cinta" terhadap pelajarannya. Tambahan pula, subjek berteraskan sains dan matematik menagih minat yang tinggi selain daripada kepintaran sebagai nilai tambah.

Persoalannya, adakah seluruh pelajar yang menempuh pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kini minat dengan apa yang mereka pelajari?

Bagi golongan pelajar bandar mungkin soal tersebut tidak menjadi masalah lantaran latar ekonomi dan sosial keluarga serta persekitaran yang banyak membantu. Namun, bagaimana dengan pelajar luar bandar dan pedalaman yang merupakan kumpulan dominan pelajar di negara ini?

Memang benar bukan semua pelajar luar bandar bermasalah dengan pelaksanaan dasar tersebut tetapi statistik keciciran yang tinggi di kalangan pelajar luar bandar perlu diberi perhatian.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Mohd Radzi Abd Jabar seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tahun lalu, kadar keciciran pelajar sekolah rendah dan menengah luar bandar masing-masing adalah 1.2 peratus dan 16.7 peratus setahun.

Apabila disebut luar bandar, semestinya kita sedia maklum sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak Melayu manakala di Sabah dan Sarawak pula adalah murid-murid Bumiputera.

Seperti perumpamaan dari mata turun ke hati, begitulah dengan tahap minat pelajar hari ini terhadap subjek sains dan matematik.

Jika penguasaan bahasa Inggeris pun masih lemah, tidakkah minat mereka untuk belajar sains dan matematik juga cenderung akan goyah?

Bagaimana minat mahu menguasai kedua-dua matapelajaran tersebut akan timbul seterusnya dapat "turun ke hati" iaitu memahami apa yang dipelajari?

Analisis keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu misalnya menunjukkan 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini belum ditambah dengan jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C.

Bagaimanakah penerimaan seterusnya pemahaman hampir 300,000 murid dari kelompok tersebut menelaah subjek Sains dan Matematik bermula di Tingkatan Satu tahun depan?

Lunturnya minat mereka untuk belajar disebabkan faktor halangan bahasa dikhuatiri mendorong mereka untuk memberontak sehingga terjebak dalam pelbagai bentuk aktiviti tidak sihat seperti mengganggu pembelajaran rakan sekelas dan ponteng kelas.

Peluang lebih ramai pelajar yang sebenarnya berkebolehan dalam sains dan matematik tidak mustahil akan 'tercantas' oleh lemahnya penguasaan bahasa Inggeris. Malah, perlu ditegaskan bukan semua yang mahir dan menguasai bahasa Inggeris turut berkebolehan dalam sains dan matematik.

Menyedari hakikat bahawa faktor minat berkait rapat dengan penggunaan bahasa yang dekat dengan jiwa dan akal budi bangsanya maka adalah lebih baik subjek-subjek tersebut kembali diajar dalam bahasa kebangsaan.

Demi kebaikan jangka panjang bangsa Malaysia, PPSMI wajar dimansuhkan diganti dengan rombakan besar-besaran terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris jika benar mahu melihat pelajar kita menguasai bahasa antarabangsa itu.

Monday, September 15, 2008

Sistem penilaian baru boleh pertingkat kualiti prestasi murid

KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan sistem penilaian baru bagi murid sekolah rendah mulai 2010 seperti diumumkan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kelmarin membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius mahu mengubah sistem penilaian berasaskan peperiksaan kepada sistem penilaian prestasi berasaskan sekolah yang lebih menyeluruh. Jika semuanya berjalan mengikut jadual bermakna mulai 2015, prestasi murid tidak lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti sekarang, sebaliknya peperiksaan itu hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah penuh yang akan digabungkan dengan empat lagi penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian. Kita yakin pengenalan sistem baru itu mampu memperkasakan pendidikan dengan tujuan mengembalikan pendidikan sebagai wadah membentuk insan berpengetahuan dan berakhlak. Ia juga lebih relevan dengan keperluan negara kepada modal insan, yang bukan saja mampu melahirkan murid berketerampilan dan berilmu pengetahuan, malah memiliki sahsiah tinggi, berakhlak mulia, kreatif, berani melakukan perubahan dan menghadapi cabaran. Buat masa ini, penilaian berasaskan sekolah tidak menyeluruh dan hanya meliputi beberapa mata pelajaran seperti kerja kursus Ujian Perkara Asas Fardu Ain (Pafa), Penilaian Kerja Amali (Peka) serta Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kita yakin dengan sistem baru itu, peluang untuk menjana kecemerlangan akan lebih terbuka dan tidak terhad kepada kategori murid cemerlang akademik semata-mata tetapi juga termasuk murid yang cenderung kepada bidang kemahiran lain dan aktif kokurikulum.

Bagaimanapun, seperti dinyatakan Alimuddin memang ada pihak yang kurang bersetuju jika sistem baru melaksanakan peperiksaan seragam seawal Tahun Satu. Cadangan itu tidak selari dengan matlamat sistem baru yang bertujuan untuk mengurangkan peperiksaan. Lagi pun, dalam sistem yang ada sekarang, peperiksaan awam yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hanya diduduki apabila seseorang murid berada di Tahun Enam. Jika ini berlaku, kita bimbang matlamat untuk mengurangkan tekanan ke atas murid kesan daripada sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan tidak akan tercapai, sebaliknya mereka akan berasa lebih tertekan kerana harus membuat persediaan setiap tahun sehingga ke Tahun Enam. Oleh itu, latihan guru harus disemak semula supaya ia lebih relevan dengan peranan mereka yang bukan sekadar mengajar di kelas, tetapi perlu menilai pelbagai aspek kemahiran lain yang dimiliki pelajar. Walaupun sistem ini memberi kuasa kepada pihak sekolah dan guru menjalankan sendiri penilaian terhadap muridnya, kementerian harus mengeluarkan garis panduan bagi menyeragamkan cara pelaksanaannya.