Wednesday, September 24, 2008

Rombak pengajaran bahasa Inggeris besar-besaran

FAKTOR minat adalah perkara paling penting untuk pelajar "jatuh cinta" terhadap pelajarannya. Tambahan pula, subjek berteraskan sains dan matematik menagih minat yang tinggi selain daripada kepintaran sebagai nilai tambah.

Persoalannya, adakah seluruh pelajar yang menempuh pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kini minat dengan apa yang mereka pelajari?

Bagi golongan pelajar bandar mungkin soal tersebut tidak menjadi masalah lantaran latar ekonomi dan sosial keluarga serta persekitaran yang banyak membantu. Namun, bagaimana dengan pelajar luar bandar dan pedalaman yang merupakan kumpulan dominan pelajar di negara ini?

Memang benar bukan semua pelajar luar bandar bermasalah dengan pelaksanaan dasar tersebut tetapi statistik keciciran yang tinggi di kalangan pelajar luar bandar perlu diberi perhatian.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Mohd Radzi Abd Jabar seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tahun lalu, kadar keciciran pelajar sekolah rendah dan menengah luar bandar masing-masing adalah 1.2 peratus dan 16.7 peratus setahun.

Apabila disebut luar bandar, semestinya kita sedia maklum sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak Melayu manakala di Sabah dan Sarawak pula adalah murid-murid Bumiputera.

Seperti perumpamaan dari mata turun ke hati, begitulah dengan tahap minat pelajar hari ini terhadap subjek sains dan matematik.

Jika penguasaan bahasa Inggeris pun masih lemah, tidakkah minat mereka untuk belajar sains dan matematik juga cenderung akan goyah?

Bagaimana minat mahu menguasai kedua-dua matapelajaran tersebut akan timbul seterusnya dapat "turun ke hati" iaitu memahami apa yang dipelajari?

Analisis keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu misalnya menunjukkan 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini belum ditambah dengan jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C.

Bagaimanakah penerimaan seterusnya pemahaman hampir 300,000 murid dari kelompok tersebut menelaah subjek Sains dan Matematik bermula di Tingkatan Satu tahun depan?

Lunturnya minat mereka untuk belajar disebabkan faktor halangan bahasa dikhuatiri mendorong mereka untuk memberontak sehingga terjebak dalam pelbagai bentuk aktiviti tidak sihat seperti mengganggu pembelajaran rakan sekelas dan ponteng kelas.

Peluang lebih ramai pelajar yang sebenarnya berkebolehan dalam sains dan matematik tidak mustahil akan 'tercantas' oleh lemahnya penguasaan bahasa Inggeris. Malah, perlu ditegaskan bukan semua yang mahir dan menguasai bahasa Inggeris turut berkebolehan dalam sains dan matematik.

Menyedari hakikat bahawa faktor minat berkait rapat dengan penggunaan bahasa yang dekat dengan jiwa dan akal budi bangsanya maka adalah lebih baik subjek-subjek tersebut kembali diajar dalam bahasa kebangsaan.

Demi kebaikan jangka panjang bangsa Malaysia, PPSMI wajar dimansuhkan diganti dengan rombakan besar-besaran terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris jika benar mahu melihat pelajar kita menguasai bahasa antarabangsa itu.

No comments: