Monday, September 29, 2008

Ingati warga emas sambut raya bersendirian

Alhamdulillah, 1 Syawal menjelang lagi dan tahun ini merupakan sambutan berganda apabila Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Oktober 2008 yang juga Hari Warga Emas.

Dalam kesibukan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri, terfikirkah kita akan segelintir insan di rumah warga emas dan mereka yang bergelar warga emas di serata negara yang menyambut kedatangan 1 Syawal bersendirian?

Aidilfitri menjadi suatu yang nostalgik dan memori pilu bagi mereka yang ditinggalkan untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan sama ada keseorangan di rumah sendiri mahupun di rumah warga emas. Sepanjang Ramadan, lumrahnya terpampang di dada akhbar gambar dan berita pelbagai pihak, baik korporat atau ahli politik yang menyampaikan derma dan sedekah kepada yang kurang bernasib baik antaranya golongan anak yatim, orang kurang upaya, fakir miskin dan warga tua.

Namun, apabila Syawal menjelma, tiada pula kedengaran berita orang perseorangan atau kumpulan yang mengunjungi mereka di rumah warga emas kerana masing-masing sibuk dengan sambutan raya masing-masing di kampung atau bersama keluarga.

Pernah beberapa wawancara akhbar disiarkan yang memaparkan kisah warga emas menyambut 1 Syawal bersendirian. Namun berapa ramai yang terdetik untuk menyambut Aidilfitri bersama mereka.

Setiap pagi raya, setelah solat Aidilfitri dan menziarahi kubur, ahli keluarga berkumpul di rumah keluarga dan bersalam- salaman dengan semua ahli keluarga daripada yang paling tua hinggalah yang paling muda. Yang berpangkat datuk dan nenek terhibur dengan kunjungan anak dan cucu-cicit di pagi raya.

Setelah bersarapan pagi, mereka keluar beraya ke rumah kaum keluarga dan sahabat handai.
Satu amalan terpuji apabila mengunjungi saudara-mara yang berpangkat datuk atau nenek yang tinggal bersendirian tetapi janganlah pula menyerbu ke rumah mereka dengan konvoi kereta dan minta dilayan seadanya pula!

Fikirkanlah, bagi mereka yang tinggal bersendirian di rumah warga emas, mungkinkah mereka dapat merasai kembali kemeriahan kunjungan anak cucu di pagi raya?

Justeru di hari raya ini, jika ada kesempatan atau apabila lalu di hadapan rumah warga emas semasa keluar beraya, singgahlah untuk beraya bersama mereka.

Wednesday, September 24, 2008

Rombak pengajaran bahasa Inggeris besar-besaran

FAKTOR minat adalah perkara paling penting untuk pelajar "jatuh cinta" terhadap pelajarannya. Tambahan pula, subjek berteraskan sains dan matematik menagih minat yang tinggi selain daripada kepintaran sebagai nilai tambah.

Persoalannya, adakah seluruh pelajar yang menempuh pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kini minat dengan apa yang mereka pelajari?

Bagi golongan pelajar bandar mungkin soal tersebut tidak menjadi masalah lantaran latar ekonomi dan sosial keluarga serta persekitaran yang banyak membantu. Namun, bagaimana dengan pelajar luar bandar dan pedalaman yang merupakan kumpulan dominan pelajar di negara ini?

Memang benar bukan semua pelajar luar bandar bermasalah dengan pelaksanaan dasar tersebut tetapi statistik keciciran yang tinggi di kalangan pelajar luar bandar perlu diberi perhatian.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Mohd Radzi Abd Jabar seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tahun lalu, kadar keciciran pelajar sekolah rendah dan menengah luar bandar masing-masing adalah 1.2 peratus dan 16.7 peratus setahun.

Apabila disebut luar bandar, semestinya kita sedia maklum sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak Melayu manakala di Sabah dan Sarawak pula adalah murid-murid Bumiputera.

Seperti perumpamaan dari mata turun ke hati, begitulah dengan tahap minat pelajar hari ini terhadap subjek sains dan matematik.

Jika penguasaan bahasa Inggeris pun masih lemah, tidakkah minat mereka untuk belajar sains dan matematik juga cenderung akan goyah?

Bagaimana minat mahu menguasai kedua-dua matapelajaran tersebut akan timbul seterusnya dapat "turun ke hati" iaitu memahami apa yang dipelajari?

Analisis keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu misalnya menunjukkan 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini belum ditambah dengan jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C.

Bagaimanakah penerimaan seterusnya pemahaman hampir 300,000 murid dari kelompok tersebut menelaah subjek Sains dan Matematik bermula di Tingkatan Satu tahun depan?

Lunturnya minat mereka untuk belajar disebabkan faktor halangan bahasa dikhuatiri mendorong mereka untuk memberontak sehingga terjebak dalam pelbagai bentuk aktiviti tidak sihat seperti mengganggu pembelajaran rakan sekelas dan ponteng kelas.

Peluang lebih ramai pelajar yang sebenarnya berkebolehan dalam sains dan matematik tidak mustahil akan 'tercantas' oleh lemahnya penguasaan bahasa Inggeris. Malah, perlu ditegaskan bukan semua yang mahir dan menguasai bahasa Inggeris turut berkebolehan dalam sains dan matematik.

Menyedari hakikat bahawa faktor minat berkait rapat dengan penggunaan bahasa yang dekat dengan jiwa dan akal budi bangsanya maka adalah lebih baik subjek-subjek tersebut kembali diajar dalam bahasa kebangsaan.

Demi kebaikan jangka panjang bangsa Malaysia, PPSMI wajar dimansuhkan diganti dengan rombakan besar-besaran terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris jika benar mahu melihat pelajar kita menguasai bahasa antarabangsa itu.

Monday, September 15, 2008

Sistem penilaian baru boleh pertingkat kualiti prestasi murid

KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan sistem penilaian baru bagi murid sekolah rendah mulai 2010 seperti diumumkan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kelmarin membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius mahu mengubah sistem penilaian berasaskan peperiksaan kepada sistem penilaian prestasi berasaskan sekolah yang lebih menyeluruh. Jika semuanya berjalan mengikut jadual bermakna mulai 2015, prestasi murid tidak lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti sekarang, sebaliknya peperiksaan itu hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah penuh yang akan digabungkan dengan empat lagi penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian. Kita yakin pengenalan sistem baru itu mampu memperkasakan pendidikan dengan tujuan mengembalikan pendidikan sebagai wadah membentuk insan berpengetahuan dan berakhlak. Ia juga lebih relevan dengan keperluan negara kepada modal insan, yang bukan saja mampu melahirkan murid berketerampilan dan berilmu pengetahuan, malah memiliki sahsiah tinggi, berakhlak mulia, kreatif, berani melakukan perubahan dan menghadapi cabaran. Buat masa ini, penilaian berasaskan sekolah tidak menyeluruh dan hanya meliputi beberapa mata pelajaran seperti kerja kursus Ujian Perkara Asas Fardu Ain (Pafa), Penilaian Kerja Amali (Peka) serta Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kita yakin dengan sistem baru itu, peluang untuk menjana kecemerlangan akan lebih terbuka dan tidak terhad kepada kategori murid cemerlang akademik semata-mata tetapi juga termasuk murid yang cenderung kepada bidang kemahiran lain dan aktif kokurikulum.

Bagaimanapun, seperti dinyatakan Alimuddin memang ada pihak yang kurang bersetuju jika sistem baru melaksanakan peperiksaan seragam seawal Tahun Satu. Cadangan itu tidak selari dengan matlamat sistem baru yang bertujuan untuk mengurangkan peperiksaan. Lagi pun, dalam sistem yang ada sekarang, peperiksaan awam yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hanya diduduki apabila seseorang murid berada di Tahun Enam. Jika ini berlaku, kita bimbang matlamat untuk mengurangkan tekanan ke atas murid kesan daripada sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan tidak akan tercapai, sebaliknya mereka akan berasa lebih tertekan kerana harus membuat persediaan setiap tahun sehingga ke Tahun Enam. Oleh itu, latihan guru harus disemak semula supaya ia lebih relevan dengan peranan mereka yang bukan sekadar mengajar di kelas, tetapi perlu menilai pelbagai aspek kemahiran lain yang dimiliki pelajar. Walaupun sistem ini memberi kuasa kepada pihak sekolah dan guru menjalankan sendiri penilaian terhadap muridnya, kementerian harus mengeluarkan garis panduan bagi menyeragamkan cara pelaksanaannya.

Thursday, June 5, 2008

Pendidikan lahirkan modal insan berkualiti

PENDIDIKAN adalah proses dan aktiviti bertujuan menghasilkan perubahan dikehendaki di dalam diri seseorang. Pendapat ini lebih menitikberatkan seperti apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh untuk melahirkan insan seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan. Usaha itu juga memastikan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian, kemakmuran masyarakat dan negara.
Ada banyak dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa Islam menggalakkan penganutnya menuntut ilmu dan mementingkan pendidikan. Firman Allah yang bermaksud: "Allah akan meninggikan martabat orang yang beriman dan berilmu beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11) Keperibadian orang Islam adalah sesuatu yang ditanam ke dalam dirinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak itu dilahirkan seumpama sehelai kain putih. Kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Ini bermaksud pembentukan keperibadian serta pendidikan seseorang Islam itu penting dan terletak di atas tanggungjawab kedua ibu bapanya. Ibu bapa yang sedar tanggungjawab ini akan berusaha menanam keperibadian Islam di jiwa anak mereka. Tokoh Islam terkemuka, Al-Ghazali, yang juga ahli falsafah mahir dalam bidang teologi, logik, undang-undang, sains dan doktrin sufi berpendapat pendidikan adalah suatu cara dan proses mendapatkan ilmu pengetahuan dan tingkah laku juga dipelajari melalui proses pembelajaran. Menurut Al-Ghazali, matlamat pendidikan unggul ialah keselarasan dengan objektif kejadian manusia atau penguasaan ilmu mengenai Allah bertujuan mendekatkan manusia dengan Pencipta. Semua itu dapat dilakukan melalui pendidikan. Di samping itu, tujuan menuntut ilmu pengetahuan ialah untuk mendapatkan kefahaman mengenai sesuatu serta faedahnya supaya dapat diarah kepada perkara yang memberi kebaikan untuk manusia.
Pendidikan juga dapat menanamkan perangai baik kepada kanak-kanak supaya dapat menilai antara perkara benar dan salah, baik dan buruk serta membezakan perilaku baik dengan yang jahat. Dalam tulisan lain pula, Al-Ghazali beranggapan tujuan mencari ilmu adalah sebagai pengembaraan melengkapkan diri bagi kehidupan akan datang dan bukan bertujuan mendapatkan kuasa, pengaruh atau kemewahan. Demikianlah matlamat pendidikan menurut pendapat Al-Ghazali yang memperoleh bukti daripada al-Quran dan hadis. Muhammad Qutb berpendapat, pendidikan adalah proses membina manusia yang menyeluruh. Ia adalah satu skim pembinaan menyeluruh bahagian manusia seperti jasad, intelek, roh, kehidupan kebendaan dan kerohanian. Bagi Dr Mohd Athiyah al-Abrasyi pula, pendidikan ialah proses pembentukan akhlak dan budi pekerti bagi menghasilkan insan bermoral, mempunyai jiwa bersih, niat kuat, cita-cita benar, akhlak tinggi dan tahu tanggungjawabnya. Tujuan pendidikan moral ialah untuk membentuk individu bersopan dalam bicara dan perbuatan, mulia dalam tingkah laku dan perangai, bersifat bijaksana, sempurna, ikhlas, jujur dan suci. Amar al-Shaibani berpendapat, pendidikan ialah persiapan untuk kehidupan dunia dan akhirat. Bagi agama Islam, pendidikan menggabungkan akidah dan syariah, jasmani dan rohani, dunia dan akhirat. Hassan Langgulung pula memberikan beberapa tujuan pendidikan antaranya, menimbulkan keinsafan pada pelajar berkenaan agama dan segala yang terkandung dalamnya seperti prinsip akhlak yang mulia. Pendidikan juga menanamkan rasa rela, kepercayaan diri, memikul tanggungjawab, menghormati tugas, kerjasama, menginginkan kebaikan bagi orang lain, kesabaran, berjuang untuk kebaikan, berpegang teguh pada prinsip, suka berkorban, membela agama dan tanah air. Tokoh Islam dari Indonesia, Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) berpendapat pendidikan ialah proses yang memupuk budi pekerti mulia, tabiat baik serta sikap berani, merendahkan diri, sabar serta menghormati orang tua. Pendidikan, menurut perspektif Islam, menekankan pada tindak balas yang sesuai terhadap pelbagai situasi dalam kehidupan. Ciri seperti itu membenarkan penggunaan perintah Islam untuk meneruskan usaha ke arah pembangunan negara.

Thursday, May 15, 2008

Tugas guru martabatkan profesion keguruan

MASIH kental lagi tersemat di dalam kotak pemikiran penulis akan pengalaman menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun yang lalu terutamanya ketika menyambut sambutan Hari Guru pada tahun tersebut.

Pada ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru-guru lain membacakan ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu Guru Malaysia dalam majlis perhimpunan, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan ini mempunyai nilai yang unik dan tersendiri.
Teringat juga kenangan manis apabila air mata ini begitu mudah mengalir apabila ada anak murid miskin yang bersusah payah mencarikan 'hadiah' sebagai ucapan terima kasih sempena sambutan Hari Guru ini.

Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.

Begitu jua dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid. Lantaran itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan anak-anak murid.

Namun, tidak semua pihak terutamanya ibu bapa dan anak-anak murid itu sendiri yang faham akan niat murni para guru, lantas mengambil pelbagai tindakan yang 'terburu-buru' dengan menghukum dan mengheret guru ke muka pengadilan.

Itu adalah antara cabaran yang perlu ditempuh oleh guru zaman sekarang dan guru perlu terus menguatkan azam, menunjukkan wibawa diri dalam usaha memartabatkan profesion keguruan mereka.

Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom terdapat lima fokus yang diharapkan mampu mengekalkan kejayaan dan kegemilangan dalam karier seseorang guru.

Pertamanya, kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi 'ensiklopedia bergerak' yang dijadikan sumber rujukan dalam bidang masing-masing. Bukan sahaja anak murid, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun dengan baik berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi role-model kepada anak-anak muridnya. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

Ketiga, kemurnian akhlak seseorang guru itu turut menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki towering personality ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka.

Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak dapat tidak, perlu dihadapi dan ditangani oleh guru.

Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut "sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru."

Ujarnya lagi, "Menjadi cikgu pula ibarat meletakkan 'roh' guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja."

Nyatanya, selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan akan budi dan jasa guru-guru kita.

Rencana : Pelbagai tanggungjawab terpikul di atas bahu guru

UNGKAPAN ringkas tetapi penuh bermakna pernah diucapkan oleh seorang guru "Hina besi kerana karat, hina manusia kerana tidak berilmu". Ia memberi gambaran umum bahawa ilmu pengetahuan mampu memartabatkan kedudukan manusia dan menyelamatkan diri daripada lembah kehinaan, kemunduran dan kejahilan.

Siapa lagi kalau bukan guru, insan yang wajar kita hormati sehingga ke akhir hayat disebabkan jasa yang tidak mungkin dapat kita balas dengan apa jua cara sekalipun.

Bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Cemerlang Negara Terbilang" begitu signifikan terhadap pengorbanan guru dalam menjayakan pendidikan yang bertaraf dunia, merentas sempadan dan masa untuk melahirkan generasi muda yang mampu berkhidmat kepada masyarakat.

Ilmu merupakan nadi penggerak kepada pencapaian unggul terhadap sesebuah bangsa dan negara daripada cengkaman kejahilan. Hanya dengan ilmu jugalah manusia tidak akan mudah terpengaruh dan terjebak dengan budaya yang tidak bermoral dan membinasakan diri sendiri.
Bayangkan di sebalik kejayaan Perdana Menteri ada guru yang pernah mendidiknya. Kejayaan seseorang jutawan juga hasil didikan gurunya. Kita juga tidak boleh menafikan usaha melahirkan saintis dan angkasawan negara tidak akan tercapai tanpa tenaga guru. Malah lahirnya tokoh-tokoh ulama turut mendapat sentuhan ilmu seorang yang bernama guru. Apatah lagi sudah tentu kita tidak dapat menghitung jumlah para pemimpin dan golongan profesional adalah manifestasi daripada jasa warga guru.

Sebagaimana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai mentaliti kelas pertama, menambah bilangan manusia yang mempunyai personaliti unggul, merealisasikan Misi Nasional, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), Wawasan 2020 serta pelbagai tugasan yang terpikul di atas bahu guru. Tanpa semangat guru yang cemerlang pasti tidak akan terlaksana semua impian dan wawasan negara.

Oleh kerana pentingnya mendalami ilmu pengetahuan ke dalam jiwa manusia maka agama Islam sangat menitikberatkan usaha untuk mencari ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang dan membentuk akhlak manusia ke arah sifat-sifat yang terpuji sepanjang masa.

JihadKonsep menuntut ilmu sepanjang hayat dianggap sebagai satu kefarduan dan salah satu jihad yang sangat tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya "Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap Muslim dan Muslimat." (Riwayat Ibn Majah).

Di sebalik saranan daripada hadis di atas yang meletakkan tugas menuntut ilmu sebagai satu ibadat yang perlu dilaksanakan maka sudah pasti sangat memerlukan seorang guru yang mahir dalam dunia pendidikan.

Guru atau pendidik juga berperanan sebagai ejen membangunkan minda ummah, menjadikan kita bangsa yang dihormati dan disegani serta membentuk sebuah negara maju. Dengan komitmen dan kesungguhan yang tinggi maka cabaran untuk memikul tanggungjawab tersebut memerlukan guru yang menyanjung tinggi nilai-nilai kecemerlangan dalam dunia pendidikan masa kini.

Betapa luasnya ilmu pengetahuan yang perlu diterokai oleh manusia turut menuntut kesedaran untuk terus belajar dalam pelbagai bidang. Allah SWT memberi perumpamaan betapa hebatnya ilmu melebihi segala-galanya yang ada di bumi. Firman-Nya di dalam surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud: "Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan."

Sejarah Islam telah membawa satu mesej yang sangat jelas bahawa kejahilan tidak wajar dijadikan alasan untuk menggagalkan komitmen memartabatkan ummah di persada dunia.

Apabila diri manusia telah dihiasi dengan keindahan akhlak Islam maka amat mudahlah untuk menumpukan sepenuh jiwa dan minda agar menjadi masyarakat yang cerdik akalnya daripada dunia kesesatan.

Betapa indahnya dunia ini jika didiami oleh mereka yang celik minda, akal dan hati kerana dapat memberi manfaat kepada orang lain. Ingatlah bahawa Allah SWT memberi amaran keras agar tidak melakukan sebarang kemudaratan atau mendatangkan kemusnahan yang hanya merugikan bangsa dan negara.

Sekadar bertanya, siapakah kita hari ini tanpa guru?

Monday, April 7, 2008

Membaca rangsang kecemerlangan

Statistik akhir menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit Program NilamANTARA matlamat utama Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sehingga 13 April ini, ialah menggalakkan orang ramai membeli dan membaca buku. Apakah usaha Kementerian Pelajaran untuk menggalakkan minat ini di kalangan pelajar. Salah satu program utama galakan membaca dilaksanakan Kementerian Pelajaran ialah Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan pada 1999. Pelaksanaan Program Nilam ini dimulakan hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran pada 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah di mana rekod pembacaan pelajar diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.

Program ini dibahagikan kepada dua tahap, iaitu Tahap Jauhari dan Tahap Rakan Pembaca. Tahap Jauhari ialah tahap di mana kita menggalakkan pelajar membaca sebanyak mungkin buku diminati dan kemudian dicatat dalam Buku Rekod Nilam. Pada tahap kedua, iaitu Tahap Rakan Pembaca, pelajar yang banyak membaca digalakkan mengajak atau menggalakkan rakan mereka pula untuk membaca bersama dan berdiskusi mengenai sesebuah buku. Secara tidak langsung, lebih ramai pelajar akan terbabit dalam program ini. Bagaimana dengan pencapaian program ini selepas hampir 10 tahun pelaksanaannya.

Berdasarkan statistik data dikumpul setiap tahun berkaitan pelaksanaan program ini, kita dapati pembabitan pelajar semakin meningkat. Statistik akhir tahun lalu menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit dalam program ini. Namun, usaha kita tidak akan berhenti setakat ini saja bagi membentuk budaya membaca dalam kalangan pelajar. Kita bertekad untuk mencapai sasaran pembabitan 100 peratus pelajar dalam Program Nilam dan seterusnya membudayakan amalan membaca ini di luar lingkungan persekolahan. Apakah strategi dilakukan kementerian, khususnya BTP, untuk mencapai 100 peratus pembabitan pelajar dalam Program Nilam. Walaupun cita-cita untuk mencapai pembabitan 100 peratus pelajar masih belum tercapai, usaha giat turut dijalankan rakan kita dalam rangkaian BTP di BTP Negeri, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian serta Pusat Kegiatan Guru.

Kita juga mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka program galakan membaca. Sebagai contoh, kita melaksanakan beberapa aktiviti sokongan bagi memantapkan lagi Program Nilam. Antaranya, aktiviti Khemah Membaca, Kem Penulis Muda, Jejak Maklumat, Pertandingan Bercerita, Resensi Buku serta pameran buku yang mendapat sokongan daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Selain itu, Jemaah Nazir juga mengambil kira elemen pelaksanaan Program Nilam ketika membuat pemantauan ke sekolah. Secara tidak langsung, ini menunjukkan penegasan Kementerian Pelajaran mengenai peri pentingnya program ini dilaksanakan dan pihak pentadbir sekolah perlu memberi kerjasama serta perhatian dalam merangka, mengurus, melaksana dan juga memantau program galakan membaca yang dirancang Guru Perpustakaan & Media.

Trend membaca pelajar kini didapati berubah seiring dengan perubahan teknologi. Adakah Program Nilam turut berubah mengikut trend semasa.

Ada dua perkara perlu dimaklumkan apabila kita bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan pelajar. Pertama, jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian Pusat Perkembangan Kurikulum, didapati pelajar lebih suka membaca buku berkisar mengenai suatu yang hampir dengan mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka. Selain daripada buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, pelajar lebih terarah untuk membaca buku berkaitan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, serta grafik menarik dengan teks mudah difahami. Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku perlu mengambil kira faktor ini dalam usaha membina koleksi di pusat sumber sekolah. Setiap tahun, kementerian akan mengedarkan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah. Senarai ini adalah senarai bahan bacaan dikemukakan penerbit serta pembekal buku dan sudah melalui proses penilaian. Langkah ini diambil bagi memastikan hanya bahan bacaan berkualiti boleh dibekalkan ke sekolah. Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan pelajar ialah bentuk buku dibaca. Saya sangat setuju bahawa trend dan minat pelajar sekarang lebih terarah kepada suatu yang bersifat teknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kita melihat ini sebagai suatu yang positif dan Program Nilam juga sememangnya sentiasa ditambah baik seiring kemajuan teknologi sedia ada. Bagi pelaksanaan Program Nilam, kita meminta pelajar membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod Nilam. Buku dimaksudkan ialah buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari pusat sumber sekolah, perpustakaan awam atau dibeli sendiri. Bagaimanapun seiring kepesatan teknologi, Program Nilam turut menggalakkan mereka membaca buku dalam bentuk digital yang boleh diperoleh dari pusat sumber digital, e-book dan juga cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD). Malah, mereka juga boleh memuat turun bahan bacaan dari internet untuk dibaca dan disimpan sebagai koleksi peribadi. Kini sudah ada teknologi yang boleh `membacakan' buku digital untuk kita dan boleh disimpan dalam pemain muzik MP3 serta iPod. Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan kita pada zaman ini, tiada alasan lagi sebenarnya untuk mengatakan tidak ada masa untuk membaca.

Apakah bentuk pengiktirafan diberikan kepada pelajar terbabit dalam Program Nilam sebagai galakan

Pada peringkat sekolah, galakan berbentuk hadiah serta sijil adalah sebahagian pengiktirafan dan ganjarannya. Di kebanyakan sekolah, pelajar terbabit secara aktif dalam Program Nilam diberi ganjaran serta pengiktirafan mengikut kemampuan pihak sekolah, dan kebiasaannya diadakan sewaktu Hari Anugerah Cemerlang. Kategori pengiktirafan diberikan mengikut jumlah buku dibaca pelajar. Bagi peringkat sekolah rendah, bacaan antara 90 hingga 179 buku, kategori pengiktirafannya ialah gangsa, diikuti 180-269 (perak), 270-359 (emas) dan 360 ke atas (Nilam). Manakala bagi peringkat sekolah menengah pula, 72-143 buku (gangsa), 144-215 (perak), 216-287 (emas) dan 288 ke atas (Nilam). Seterusnya, setiap negeri mempunyai satu program Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri di mana BTP Negeri menjadi urus setia dengan kerjasama JPN masing-masing. Pada peringkat ini, pelajar terbabit secara aktif dalam Program Nilam akan dinilai bukan saja dari segi bilangan buku dibaca tetapi juga kemahiran mereka menjawab soalan penilaian yang dijalankan oleh hakim dilantik. Pemenang peringkat negeri akan dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Negeri dan dicalonkan untuk Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan.

Bagaimana pemilihan Tokoh Nilam Kebangsaan dilakukan.

Calon dalam lima kategori, iaitu Sekolah Rendah Pedalaman, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan juga Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk pemilihan pemenang mengikut kategori masing-masing, dan seterusnya meraih anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan Sekolah Rendah serta Tokoh Nilam Kebangsaan Sekolah Menengah. Kategori Sekolah Rendah Pedalaman ialah kategori baru diperkenalkan tahun ini bagi memenuhi aspirasi strategi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk merapatkan jurang pendidikan, di samping membuka peluang sama rata kepada pelajar dari kawasan terbabit yang mungkin agak ketinggalan dari segi kemudahan prasarana dan capaian terhadap bahan bacaan. Dua jenis penilaian, iaitu lisan dan bertulis, dijalankan hakim yang terdiri daripada pensyarah universiti tempatan, institut perguruan serta pegawai dari Perpustakaan Negara Malaysia. Antara elemen dinilai ialah kemahiran membaca, mencari maklumat, membuat analisis, membuat rumusan, kebolehan berhujah, kefasihan bertutur dan kemahiran menyelesaikan masalah. Selain lima kategori berkenaan, empat kategori baru khusus untuk pelajar pendidikan khas turut diperkenalkan tahun ini, iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SRPK) Pendengaran, SRPK Penglihatan, Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Pendengaran dan SMPK Penglihatan. Bukan itu saja, hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Anugerah Nilam yang lalu, kita bersetuju untuk menambah jumlah hadiah wang tunai kepada setiap pemenang tahun ini. Tokoh Nilam Kebangsaan kali ini menerima hadiah wang tunai RM1,500 berbanding RM600 sebelumnya. Bagi setiap kategori pula, pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM1,000 berbanding RM500 tahun lalu, tempat kedua RM800 berbanding RM300, dan tempat ketiga RM500 berbanding RM200. Tahun ini, Majlis Anugerah Nilam Kebangsaan sudah pun berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Khamis lalu, dengan dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sebagai tetamu kehormat. Seperti lazim, program ini diadakan dalam tempoh terdekat dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Apakah harapan daripada pelaksanaan Program Anugerah Nilam Kebangsaan 2008.

Saya berharap dapat melahirkan Tokoh Nilam yang benar-benar berketrampilan untuk dijadikan `role model' kepada pelajar lain. Kita ingin menunjukkan kepada semua pelajar bahawa adanya saling kait yang amat rapat antara budaya membaca dengan kecemerlangan pendidikan. Mungkin boleh saya imbas kembali pada 2004 di mana Tokoh Nilam Kebangsaan tahun itu, Nur Amalina Che Bakri, adalah pelajar terbaik keseluruhan bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 dengan mencapai 17 1A. Tahun lalu, sekali lagi kita berjaya melahirkan Tokoh Nilam Kebangsaan yang juga muncul pelajar terbaik keseluruhan SPM 2007, iaitu Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A. Semoga dengan contoh ditunjukkan itu akan membuka mata semua pihak, termasuk pelajar, pendidik dan ibu bapa, mengenai peri pentingnya membina tabiat membaca dalam diri kita serta menjadikannya satu budaya hidup.