Thursday, May 15, 2008

Tugas guru martabatkan profesion keguruan

MASIH kental lagi tersemat di dalam kotak pemikiran penulis akan pengalaman menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun yang lalu terutamanya ketika menyambut sambutan Hari Guru pada tahun tersebut.

Pada ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru-guru lain membacakan ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu Guru Malaysia dalam majlis perhimpunan, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan ini mempunyai nilai yang unik dan tersendiri.
Teringat juga kenangan manis apabila air mata ini begitu mudah mengalir apabila ada anak murid miskin yang bersusah payah mencarikan 'hadiah' sebagai ucapan terima kasih sempena sambutan Hari Guru ini.

Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.

Begitu jua dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid. Lantaran itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan anak-anak murid.

Namun, tidak semua pihak terutamanya ibu bapa dan anak-anak murid itu sendiri yang faham akan niat murni para guru, lantas mengambil pelbagai tindakan yang 'terburu-buru' dengan menghukum dan mengheret guru ke muka pengadilan.

Itu adalah antara cabaran yang perlu ditempuh oleh guru zaman sekarang dan guru perlu terus menguatkan azam, menunjukkan wibawa diri dalam usaha memartabatkan profesion keguruan mereka.

Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom terdapat lima fokus yang diharapkan mampu mengekalkan kejayaan dan kegemilangan dalam karier seseorang guru.

Pertamanya, kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi 'ensiklopedia bergerak' yang dijadikan sumber rujukan dalam bidang masing-masing. Bukan sahaja anak murid, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun dengan baik berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi role-model kepada anak-anak muridnya. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

Ketiga, kemurnian akhlak seseorang guru itu turut menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki towering personality ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka.

Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak dapat tidak, perlu dihadapi dan ditangani oleh guru.

Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut "sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru."

Ujarnya lagi, "Menjadi cikgu pula ibarat meletakkan 'roh' guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja."

Nyatanya, selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan akan budi dan jasa guru-guru kita.

Rencana : Pelbagai tanggungjawab terpikul di atas bahu guru

UNGKAPAN ringkas tetapi penuh bermakna pernah diucapkan oleh seorang guru "Hina besi kerana karat, hina manusia kerana tidak berilmu". Ia memberi gambaran umum bahawa ilmu pengetahuan mampu memartabatkan kedudukan manusia dan menyelamatkan diri daripada lembah kehinaan, kemunduran dan kejahilan.

Siapa lagi kalau bukan guru, insan yang wajar kita hormati sehingga ke akhir hayat disebabkan jasa yang tidak mungkin dapat kita balas dengan apa jua cara sekalipun.

Bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Cemerlang Negara Terbilang" begitu signifikan terhadap pengorbanan guru dalam menjayakan pendidikan yang bertaraf dunia, merentas sempadan dan masa untuk melahirkan generasi muda yang mampu berkhidmat kepada masyarakat.

Ilmu merupakan nadi penggerak kepada pencapaian unggul terhadap sesebuah bangsa dan negara daripada cengkaman kejahilan. Hanya dengan ilmu jugalah manusia tidak akan mudah terpengaruh dan terjebak dengan budaya yang tidak bermoral dan membinasakan diri sendiri.
Bayangkan di sebalik kejayaan Perdana Menteri ada guru yang pernah mendidiknya. Kejayaan seseorang jutawan juga hasil didikan gurunya. Kita juga tidak boleh menafikan usaha melahirkan saintis dan angkasawan negara tidak akan tercapai tanpa tenaga guru. Malah lahirnya tokoh-tokoh ulama turut mendapat sentuhan ilmu seorang yang bernama guru. Apatah lagi sudah tentu kita tidak dapat menghitung jumlah para pemimpin dan golongan profesional adalah manifestasi daripada jasa warga guru.

Sebagaimana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai mentaliti kelas pertama, menambah bilangan manusia yang mempunyai personaliti unggul, merealisasikan Misi Nasional, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), Wawasan 2020 serta pelbagai tugasan yang terpikul di atas bahu guru. Tanpa semangat guru yang cemerlang pasti tidak akan terlaksana semua impian dan wawasan negara.

Oleh kerana pentingnya mendalami ilmu pengetahuan ke dalam jiwa manusia maka agama Islam sangat menitikberatkan usaha untuk mencari ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang dan membentuk akhlak manusia ke arah sifat-sifat yang terpuji sepanjang masa.

JihadKonsep menuntut ilmu sepanjang hayat dianggap sebagai satu kefarduan dan salah satu jihad yang sangat tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya "Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap Muslim dan Muslimat." (Riwayat Ibn Majah).

Di sebalik saranan daripada hadis di atas yang meletakkan tugas menuntut ilmu sebagai satu ibadat yang perlu dilaksanakan maka sudah pasti sangat memerlukan seorang guru yang mahir dalam dunia pendidikan.

Guru atau pendidik juga berperanan sebagai ejen membangunkan minda ummah, menjadikan kita bangsa yang dihormati dan disegani serta membentuk sebuah negara maju. Dengan komitmen dan kesungguhan yang tinggi maka cabaran untuk memikul tanggungjawab tersebut memerlukan guru yang menyanjung tinggi nilai-nilai kecemerlangan dalam dunia pendidikan masa kini.

Betapa luasnya ilmu pengetahuan yang perlu diterokai oleh manusia turut menuntut kesedaran untuk terus belajar dalam pelbagai bidang. Allah SWT memberi perumpamaan betapa hebatnya ilmu melebihi segala-galanya yang ada di bumi. Firman-Nya di dalam surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud: "Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan."

Sejarah Islam telah membawa satu mesej yang sangat jelas bahawa kejahilan tidak wajar dijadikan alasan untuk menggagalkan komitmen memartabatkan ummah di persada dunia.

Apabila diri manusia telah dihiasi dengan keindahan akhlak Islam maka amat mudahlah untuk menumpukan sepenuh jiwa dan minda agar menjadi masyarakat yang cerdik akalnya daripada dunia kesesatan.

Betapa indahnya dunia ini jika didiami oleh mereka yang celik minda, akal dan hati kerana dapat memberi manfaat kepada orang lain. Ingatlah bahawa Allah SWT memberi amaran keras agar tidak melakukan sebarang kemudaratan atau mendatangkan kemusnahan yang hanya merugikan bangsa dan negara.

Sekadar bertanya, siapakah kita hari ini tanpa guru?

Monday, April 7, 2008

Membaca rangsang kecemerlangan

Statistik akhir menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit Program NilamANTARA matlamat utama Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sehingga 13 April ini, ialah menggalakkan orang ramai membeli dan membaca buku. Apakah usaha Kementerian Pelajaran untuk menggalakkan minat ini di kalangan pelajar. Salah satu program utama galakan membaca dilaksanakan Kementerian Pelajaran ialah Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan pada 1999. Pelaksanaan Program Nilam ini dimulakan hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran pada 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah di mana rekod pembacaan pelajar diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.

Program ini dibahagikan kepada dua tahap, iaitu Tahap Jauhari dan Tahap Rakan Pembaca. Tahap Jauhari ialah tahap di mana kita menggalakkan pelajar membaca sebanyak mungkin buku diminati dan kemudian dicatat dalam Buku Rekod Nilam. Pada tahap kedua, iaitu Tahap Rakan Pembaca, pelajar yang banyak membaca digalakkan mengajak atau menggalakkan rakan mereka pula untuk membaca bersama dan berdiskusi mengenai sesebuah buku. Secara tidak langsung, lebih ramai pelajar akan terbabit dalam program ini. Bagaimana dengan pencapaian program ini selepas hampir 10 tahun pelaksanaannya.

Berdasarkan statistik data dikumpul setiap tahun berkaitan pelaksanaan program ini, kita dapati pembabitan pelajar semakin meningkat. Statistik akhir tahun lalu menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit dalam program ini. Namun, usaha kita tidak akan berhenti setakat ini saja bagi membentuk budaya membaca dalam kalangan pelajar. Kita bertekad untuk mencapai sasaran pembabitan 100 peratus pelajar dalam Program Nilam dan seterusnya membudayakan amalan membaca ini di luar lingkungan persekolahan. Apakah strategi dilakukan kementerian, khususnya BTP, untuk mencapai 100 peratus pembabitan pelajar dalam Program Nilam. Walaupun cita-cita untuk mencapai pembabitan 100 peratus pelajar masih belum tercapai, usaha giat turut dijalankan rakan kita dalam rangkaian BTP di BTP Negeri, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian serta Pusat Kegiatan Guru.

Kita juga mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka program galakan membaca. Sebagai contoh, kita melaksanakan beberapa aktiviti sokongan bagi memantapkan lagi Program Nilam. Antaranya, aktiviti Khemah Membaca, Kem Penulis Muda, Jejak Maklumat, Pertandingan Bercerita, Resensi Buku serta pameran buku yang mendapat sokongan daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Selain itu, Jemaah Nazir juga mengambil kira elemen pelaksanaan Program Nilam ketika membuat pemantauan ke sekolah. Secara tidak langsung, ini menunjukkan penegasan Kementerian Pelajaran mengenai peri pentingnya program ini dilaksanakan dan pihak pentadbir sekolah perlu memberi kerjasama serta perhatian dalam merangka, mengurus, melaksana dan juga memantau program galakan membaca yang dirancang Guru Perpustakaan & Media.

Trend membaca pelajar kini didapati berubah seiring dengan perubahan teknologi. Adakah Program Nilam turut berubah mengikut trend semasa.

Ada dua perkara perlu dimaklumkan apabila kita bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan pelajar. Pertama, jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian Pusat Perkembangan Kurikulum, didapati pelajar lebih suka membaca buku berkisar mengenai suatu yang hampir dengan mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka. Selain daripada buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, pelajar lebih terarah untuk membaca buku berkaitan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, serta grafik menarik dengan teks mudah difahami. Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku perlu mengambil kira faktor ini dalam usaha membina koleksi di pusat sumber sekolah. Setiap tahun, kementerian akan mengedarkan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah. Senarai ini adalah senarai bahan bacaan dikemukakan penerbit serta pembekal buku dan sudah melalui proses penilaian. Langkah ini diambil bagi memastikan hanya bahan bacaan berkualiti boleh dibekalkan ke sekolah. Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan pelajar ialah bentuk buku dibaca. Saya sangat setuju bahawa trend dan minat pelajar sekarang lebih terarah kepada suatu yang bersifat teknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kita melihat ini sebagai suatu yang positif dan Program Nilam juga sememangnya sentiasa ditambah baik seiring kemajuan teknologi sedia ada. Bagi pelaksanaan Program Nilam, kita meminta pelajar membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod Nilam. Buku dimaksudkan ialah buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari pusat sumber sekolah, perpustakaan awam atau dibeli sendiri. Bagaimanapun seiring kepesatan teknologi, Program Nilam turut menggalakkan mereka membaca buku dalam bentuk digital yang boleh diperoleh dari pusat sumber digital, e-book dan juga cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD). Malah, mereka juga boleh memuat turun bahan bacaan dari internet untuk dibaca dan disimpan sebagai koleksi peribadi. Kini sudah ada teknologi yang boleh `membacakan' buku digital untuk kita dan boleh disimpan dalam pemain muzik MP3 serta iPod. Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan kita pada zaman ini, tiada alasan lagi sebenarnya untuk mengatakan tidak ada masa untuk membaca.

Apakah bentuk pengiktirafan diberikan kepada pelajar terbabit dalam Program Nilam sebagai galakan

Pada peringkat sekolah, galakan berbentuk hadiah serta sijil adalah sebahagian pengiktirafan dan ganjarannya. Di kebanyakan sekolah, pelajar terbabit secara aktif dalam Program Nilam diberi ganjaran serta pengiktirafan mengikut kemampuan pihak sekolah, dan kebiasaannya diadakan sewaktu Hari Anugerah Cemerlang. Kategori pengiktirafan diberikan mengikut jumlah buku dibaca pelajar. Bagi peringkat sekolah rendah, bacaan antara 90 hingga 179 buku, kategori pengiktirafannya ialah gangsa, diikuti 180-269 (perak), 270-359 (emas) dan 360 ke atas (Nilam). Manakala bagi peringkat sekolah menengah pula, 72-143 buku (gangsa), 144-215 (perak), 216-287 (emas) dan 288 ke atas (Nilam). Seterusnya, setiap negeri mempunyai satu program Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri di mana BTP Negeri menjadi urus setia dengan kerjasama JPN masing-masing. Pada peringkat ini, pelajar terbabit secara aktif dalam Program Nilam akan dinilai bukan saja dari segi bilangan buku dibaca tetapi juga kemahiran mereka menjawab soalan penilaian yang dijalankan oleh hakim dilantik. Pemenang peringkat negeri akan dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Negeri dan dicalonkan untuk Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan.

Bagaimana pemilihan Tokoh Nilam Kebangsaan dilakukan.

Calon dalam lima kategori, iaitu Sekolah Rendah Pedalaman, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan juga Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk pemilihan pemenang mengikut kategori masing-masing, dan seterusnya meraih anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan Sekolah Rendah serta Tokoh Nilam Kebangsaan Sekolah Menengah. Kategori Sekolah Rendah Pedalaman ialah kategori baru diperkenalkan tahun ini bagi memenuhi aspirasi strategi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk merapatkan jurang pendidikan, di samping membuka peluang sama rata kepada pelajar dari kawasan terbabit yang mungkin agak ketinggalan dari segi kemudahan prasarana dan capaian terhadap bahan bacaan. Dua jenis penilaian, iaitu lisan dan bertulis, dijalankan hakim yang terdiri daripada pensyarah universiti tempatan, institut perguruan serta pegawai dari Perpustakaan Negara Malaysia. Antara elemen dinilai ialah kemahiran membaca, mencari maklumat, membuat analisis, membuat rumusan, kebolehan berhujah, kefasihan bertutur dan kemahiran menyelesaikan masalah. Selain lima kategori berkenaan, empat kategori baru khusus untuk pelajar pendidikan khas turut diperkenalkan tahun ini, iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SRPK) Pendengaran, SRPK Penglihatan, Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Pendengaran dan SMPK Penglihatan. Bukan itu saja, hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Anugerah Nilam yang lalu, kita bersetuju untuk menambah jumlah hadiah wang tunai kepada setiap pemenang tahun ini. Tokoh Nilam Kebangsaan kali ini menerima hadiah wang tunai RM1,500 berbanding RM600 sebelumnya. Bagi setiap kategori pula, pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM1,000 berbanding RM500 tahun lalu, tempat kedua RM800 berbanding RM300, dan tempat ketiga RM500 berbanding RM200. Tahun ini, Majlis Anugerah Nilam Kebangsaan sudah pun berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Khamis lalu, dengan dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sebagai tetamu kehormat. Seperti lazim, program ini diadakan dalam tempoh terdekat dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Apakah harapan daripada pelaksanaan Program Anugerah Nilam Kebangsaan 2008.

Saya berharap dapat melahirkan Tokoh Nilam yang benar-benar berketrampilan untuk dijadikan `role model' kepada pelajar lain. Kita ingin menunjukkan kepada semua pelajar bahawa adanya saling kait yang amat rapat antara budaya membaca dengan kecemerlangan pendidikan. Mungkin boleh saya imbas kembali pada 2004 di mana Tokoh Nilam Kebangsaan tahun itu, Nur Amalina Che Bakri, adalah pelajar terbaik keseluruhan bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 dengan mencapai 17 1A. Tahun lalu, sekali lagi kita berjaya melahirkan Tokoh Nilam Kebangsaan yang juga muncul pelajar terbaik keseluruhan SPM 2007, iaitu Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A. Semoga dengan contoh ditunjukkan itu akan membuka mata semua pihak, termasuk pelajar, pendidik dan ibu bapa, mengenai peri pentingnya membina tabiat membaca dalam diri kita serta menjadikannya satu budaya hidup.

Tuesday, March 25, 2008

Malaysia mampu wujud universiti bertaraf dunia

Tingkat integriti, kebebasan akademik syarat naik ranking: Kajian MALAYSIA satu daripada empat negara Islam berpotensi lebih mempunyai universiti bertaraf dunia, menurut kajian dijalankan pakar perunding antarabangsa, Dr Naceur Jabnoun.

Berdasarkan kajian perunding kanan dari Sheikh Sqar Program For Government Excellence, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, tiga negara lain ialah UAE, Qatar dan Turki.

Meskipun hasil kajian itu mendapati 50 negara Islam seluruh dunia mencatat nombor negatif ramalan bilangan universiti bertaraf dunia, empat negara berkenaan menduduki senarai teratas lebih berpotensi, iaitu ramalan paling hampir nombor kosong. Berdasarkan kajian itu, UAE menduduki tangga teratas dengan mencatat -1.78341944 dari segi ramalan bilangan universiti bertaraf dunia, diikuti Qatar (-2.26742458), Turki (-2.30760207) dan Malaysia (-2.84695605).

Sambil menjelaskan keseluruhan negara Islam terbabit mencatat nombor antara -1.78 hingga -9.05 bagi ramalan itu, Naceur berkata, tiada universiti dari negara Islam menduduki senarai 300 terbaik di dunia.

“Masalah signifikan kebanyakan negara Islam bukan dari segi pembiayaan, tetapi lebih kepada masalah berkaitan rasuah, kekurangan kebebasan dan pentadbiran bersama.

“Walaupun masalah ini bukan eksklusif kepada universiti dalam dunia Islam saja, ahli akademik harus sedar bahawa mereka perlu berperanan sebagai ejen perubahan dan menyokong yang baik, yakni lebih norma sikap Islamik.

“Pilih kasih, nepotisme, autokrasi dan pengehadan kebebasan akademik bertentangan dengan inti pati kecemerlangan akademik,” katanya. Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk Factors Affecting University Excellence: Lessons to Muslim Countries yang dibentangkan pada Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Tinggi Dalam Dunia Islam: Cabaran dan Prospek di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sementara itu, Prof Madya Dr Hassanuddeen Abdul Aziz dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula antara lain menyarankan supaya penanda aras serta rangkaian kerja universiti Barat, Asia dan dunia Islam dipertingkat. Seterusnya, membangunkan agenda tahunan untuk mempertingkat proses dalaman seperti penyelidikan dan khidmat bermutu, pemantauan kualiti, di samping alumni, kebolehpasaran serta pengajaran dan pembelajaran berkualiti.

“Selain itu, mengkaji kekuatan universiti terbaik dan strategi mereka dalam penarafan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Importance of Quality Assurance & University Ranking In Higher Education.

Thursday, March 13, 2008

Lepasan SPM kena bijak pilih kursus lanjut pengajian

SEMUA 439,255 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 memperoleh keputusan masing-masing kelmarin dengan 6,247 calon atau 1.42 peratus mendapat gred A bagi semua subjek yang diambil, berbanding 5,685, tahun sebelumnya. Keseluruhannya, 382,286 calon mendapat sijil SPM kali ini, berbanding 358,060 pada 2006. SPM tahun lalu adalah kumpulan pertama mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bermula Tingkatan Satu pada 2003. Keputusan itu menunjukkan pelaksanaan program berkenaan tidak menjejaskan prestasi calon sama ada di bandar atau luar bandar. Malah pencapaian bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik dan Biologi meningkat.

Paling membanggakan ialah apabila Azali Azlan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah, memperoleh 20 1A dan satu 2A, memecah rekod pencapaian yang dipegang pelajar SMK Ulu Tiram, Johor Bahru, Nur Amalina Che Bakri pada 2004 lalu. Pencapaian luar biasa Azali itu mencatat sejarah baru SPM selain membuktikan pelajar Melayu juga mampu memperoleh kecemerlangan dalam akademik jika berusaha gigih. Kecemerlangan ini disusuli seorang calon mendapat keputusan 1A dalam semua 16 subjek yang diambil, diikuti masing-masing tiga calon bagi 15 dan 14 subjek, 13 subjek (33), 12 subjek (160), 11 subjek (270), 10 subjek (394), sembilan subjek (27) dan lapan subjek (seorang).

Kita ucapkan tahniah kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dan diharap pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini mengikuti jejak dan inspirasi mereka. Seperti kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kejayaan cemerlang seorang pelajar mesti merangkumi dua aspek – akademik dan kokurikulum. Kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut mengambil kira pembabitan pelajar dalam kokurikulum termasuk sukan ketika di sekolah. Seseorang pelajar yang mendapat banyak A belum tentu boleh memilih apa saja kursus yang diminati kerana masih ada 10 peratus yang diambil kira untuk ke IPTA iaitu pembabitan dalam kokurikulum. Ketika mengisi borang permohonan, lepasan SPM harus meneliti syarat kelayakan mengikuti program yang ditetapkan IPTA bagi memastikan mereka membuat pilihan yang tepat bagi membolehkannya mendapat pengiktirafan dan pekerjaan apabila lulus kelak.

Bagi calon yang memperoleh keputusan kurang memberangsangkan, peluang masih menanti sekiranya gagal memasuki ke IPTA. Banyak pilihan program pengajian ditawarkan IPT swasta bersesuaian dengan kelayakan masing-masing. Jika memilih Tingkatan Enam, mereka harus menunggu dua tahun lagi untuk memperoleh STPM sebelum ke menara gading, tetapi jika bercadang memasuki IPTA untuk mengikuti program diploma, pelajar tidak harus tersalah pilih kursus. Mereka tidak semestinya memilih universiti yang ada nama kerana tidak semua universiti dan kolej universiti menawarkan pengajian terbaik dalam semua bidang pengkhususan.

Majikan kini lebih arif menilai universiti yang memberi kursus dan kemahiran terbaik. Sehubungan itu, pelajar boleh menggunakan kemudahan internet dan maklum balas daripada universiti dan graduan untuk memilih pusat pengajian dan kursus yang betul. Bagi pelajar yang tidak begitu cemerlang dalam akademik tetapi berminat menyertai kursus vokasional dan teknik, peluang mereka masih terbuka dengan memasuki politeknik. Mereka boleh memilih kursus yang digemari untuk memperoleh sijil ataupun diploma sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah atau terus memasuki alam pekerjaan.

Tuesday, February 19, 2008

IPT perlu pengurusan cekap

KEKUATAN dan kejayaan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) hanya dapat dicapai melalui kepemimpinan dan pengurusan cemerlang, hasil perancangan jangka panjang termasuk mempersiapkan bakal pemimpin dari kalangan tenaga akademik.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata setiap IPT perlu mengenal pasti calon di kalangan tenaga akademik di IPT masing-masing untuk dilatih bagi membolehkan mereka menjadi pemimpin di universiti berkenaan suatu hari nanti.

Katanya, kumpulan pertama yang perlu dikenal pasti adalah dekan di fakulti atau pusat pengajian untuk didedahkan aspek kepemimpinan berikutan tanggungjawab dan peranan mereka yang besar terutama soal perancangan.

"Setiap institusi yang hebat harus ada perancangan antara lima hingga 10 tahun akan datang," katanya ketika merasmikan seminar Kecemerlangan Fakulti: Strategi dan Implikasi anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi di Shah Alam, kelmarin. Mustapa berkata, IPT perlu mencontohi pengurusan Khazanah Negara Berhad (Khazanah) yang hanya bermula sebagai entiti perakaunan milik Kerajaan Pusat yang mengurus dan menyenggara aset negara, tetapi kini ia menjadi institusi disegani dan memiliki pelaburan di India dan Indonesia.

"Ia dipimpin orang yang dipilih melalui sistem dianggap telus dan mereka bukan saja mampu menjana idea, malah melaksanakan idea itu. Saya ingin nasihatkan kepada kepemimpinan IPT untuk menjadikan pengalaman Khazanah sebagai teladan.

"IPTA sama seperti Khazanah iaitu entiti kerajaan dan ia mempunyai sedikit kebebasan," katanya. Mustapa berkata, dekan yang dikenal pasti perlu didedahkan teknik pengurusan terkini, selain IPTA harus bersedia bekerjasama dengan pengurusan IPT swasta.

Selain itu, katanya, IPTA juga harus menyediakan suasana akademik lebih telus dan kondusif bagi memberi semangat dan menarik lebih ramai tenaga akademik terbaik untuk menyertai atau kekal di universiti masing-masing. Beliau berkata, antara perkara yang boleh dilakukan termasuk memberi penghargaan kepada ilmuan terkemuka dan mencapai kejayaan.

"Sebagai contoh, pagi tadi (kelmarin) kami sudah bermesyuarat dan bersetuju untuk menambah bilangan profesor 'super scale' A iaitu gred tertinggi dalam kerajaan.

“Sebelum ini, hanya lima enam orang saja menjadi profesor gred A tetapi sekarang dah ada 30 orang. "Saya sudah arahkan kepada semua IPT untuk mengenal pasti profesor di gred C dan B yang cemerlang untuk diiktiraf dan diberikan kenaikan ke gred A yang setaraf jawatan Ketua Setiausaha," katanya.

Sunday, February 10, 2008

Menentukan pilihan pembaca

FAKTOR psikologi dan kepuasan diri banyak membantu pembaca menentukan sama ada memilih untuk membaca berita secara bercetak (printed) atau dalam talian (online).

Secara psikologinya, kepuasan dapat memegang akhbar yang dibaca serta dapat menyerap dan memproses maklumat yang dibaca sambil membelek-belek muka surat khabar mengikut fasa dan keupayaan sendiri, memberi satu kelebihan kepada surat khabar bercetak berbanding surat khabar online.

Satu kajian di Jerman pada tahun 1997 menunjukkan dua pertiga subjek kajian masih lagi memilih membaca berita melalui surat khabar bercetak berbanding secara online atas sebab-sebab tertentu terutama sekali kepuasan psikologi.

Peranan akhbar bercetak masih sangat relevan kerana sebarang keputusan untuk mengeluarkan berita secara online masih lagi terletak pada keputusan orang penting dalam surat khabar bercetak.

Penggunaan teknologi dan medium komunikasi baru memberi peluang dan risiko tersendiri dalam pelbagai aspek. Dalam dunia perniagaan media, world wide web (www) memberi impak kepada surat khabar bercetak. Surat khabar tanpa kertas kini boleh memberi pelbagai kesan kepada akhbar yang masih menjalankan perniagaan secara tradisional.

Soalan

Satu projek kajian yang bertajuk Online - the future of newspapers? yang ingin melihat penggunaan surat khabar online telah dilakukan di Jerman. Kajian dilakukan ke atas kesemua 81 suratkhabar harian yang mempunyai akses kepada www. Kajian yang berbentuk soal selidik diletakkan di dalam web dan boleh diakses melalui laman web akhbar yang mengambil bahagian. Selain daripada soalan yang berbentuk soal selidik, temu duga ke atas pegawai kanan sidang pengarang surat khabar juga dilakukan.

Antara dapatan kajian ialah pembaca lebih menyukai surat khabar bercetak atas sifatnya yang lebih fleksibel dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja.

Walaupun akhbar bercetak masih menjadi pilihan, akhbar online mempunyai kebaikan tersendiri. Antaranya, maklumat lebih mudah diperoleh melalui surat khabar online. Sebanyak 22 daripada 27 surat khabar yang mengambil bahagian dalam kajian ini menyiarkan berita secara online sebelum akhbar bercetaknya menerbitkan edisinya (secara bercetak). Maklumat secara online juga sering dikemas kini. Ini ditambah pula pembaca boleh membaca akhbar online secara percuma.

Surat khabar online dari segi teknikal berupaya mengatasi media bercetak dari segi menarik pembaca. Antaranya maklumat di akhbar online dikatakan lebih interaktif, lebih mudah dikemaskini, mudah kepada akses arkib. Memandangkan ia tidak memerlukan penggunaan kertas, ia tiada menghadapi masalah pelupusan kertas.

Akhbar online juga mempunyai kelemahannya. Satu kelemahan ketara membaca akhbar secara online ialah pembaca merasakan tidak semua berita yang keluar dalam surat khabar bercetak dikeluarkan secara online.

Apa yang lebih penting ialah membaca berita secara online tidak dapat memberi pengalaman seperti membaca akhbar bercetak, masa untuk muat turun ada kalanya lama dan tidak boleh dibawa ke mana-mana.

Kewangan adalah salah satu masalah bagi akhbar online. Pengiklan masih lagi agak ragu-ragu untuk mengiklan produk mereka dalam akhbar online dan pembaca pula tidak membayar maklumat yang dibaca. Hanya tiga daripada surat khabar yang terlibat dalam kajian ini mengenakan bayaran sekiranya pembaca ingin mendapatkan maklumat lanjut dalam mereka penggunaan arkib.

Tenaga kerja di akhbar online adalah lebih muda berbanding dengan tenaga kerja di akhbar bercetak. Hampir separuh dari mereka mempunyai kelayakan dalam bidang tugas kewartawanan. Tugas-tugas yang melibatkan kerja teknikal juga semakin penting dalam akhbar online.

Apa yang sangat penting ialah sebarang keputusan untuk mengeluarkan berita secara online masih lagi terletak pada keputusan sidang pengarang surat khabar bercetak. Atas sebab itu jugalah kajian ini mendapati maklumat secara online adalah duplikasi daripada surat khabar bercetak. Artikel jarang diedit. Ada yang diringkaskan. Bagaimana maklumat secara online sering dikemas kini.

Banyak lagi maklumat yang boleh didapati berhubung kait dengan akhbar online dari kajian ini. Rumusannya, walaupun pembaca masih memilih akhbar bercetak atas sebab-sebab tertentu, keupayaan membaca berita secara online semakin menarik minat pembaca tidak boleh diambil ringan.

Usaha seperti menambahkan jumlah pengiklan di akhbar adalah satu cara di mana syarikat akhbar yang sama dapat sama- sama menerbitkan berita dalam medium bercetak dan online tanpa menghadapi masalah dari segi kewangan, jualan dan pengedarannya.

* DR. SAPORA SIPON Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).