Tuesday, November 25, 2008

Kemampuan generasi kecil

Keputusan UPSR 2008 terbukti lebih baik berbanding dengan lima tahun sebelumnya. Ia memberi banyak pengertian terutamanya kepada pelajar dan warga pendidik serta masyarakat amnya. Massa ternyata lebih berminat dan memberi fokus untuk melihat prestasi pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dengan menggunakan medium bahasa Inggeris. Inilah yang menjadi bualan dan perdebatan di kalangan rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India semenjak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Secara spesifiknya lagi pihak Kementerian Pelajaran telah memperincikan bahawa pada tahun ini calon-calon yang menjawab dalam bahasa Inggeris telah meningkat lebih daripada 200 peratus bagi mata pelajaran Matematik dan 100 peratus bagi Sains berbanding dengan tahun lepas. Ini adalah suatu lonjakan yang perlu dibanggakan.

Sekadar membuat perbandingan secara statistik, pada tahun 2007 bagi Sains hanya 1,324 orang pelajar sahaja yang sanggup menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris tetapi pada tahun ini, ia melonjak kepada 159,234 orang (31.1 peratus). Begitu juga dengan Matematik, pada tahun 2007 hanya 1,075 orang sahaja tetapi pada tahun ini ia menjangkau kepada 238,153 orang (46.6 peratus).

Dalam konteks ini, bukan persoalan nilai peratusan yang harus menjadi perhatian tetapi erti tersirat yang dapat kita fahami daripadanya. Peningkatan calon yang menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris menunjukkan anak-anak kecil di sekolah rendah di negara ini sememangnya telah memiliki daya keyakinan yang tinggi.

Mereka ternyata memiliki daya kegigihan yang kuat dan pemikiran yang begitu positif. Ternyata mereka tidak takut berdepan dengan bahasa yang dianggap sukar oleh sesetengah daripada kita. Seharusnya kita berasa malu kepada anak-anak kecil ini yang begitu gigih dan tekun mempelajari mata pelajaran ini dalam bahasa Inggeris.

Begitu juga dengan warga guru, ternyata bahawa hanya segelintir guru sahaja yang bermasalah semasa mengendalikan pengajaran dalam bahasa Inggeris tetapi majoritinya ternyata telah berusaha dengan bersungguh-sungguh sehinggakan paradigma pelajar mampu berubah daripada takut untuk menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris pada tahun-tahun sebelumnya kepada mahu dan yakin menjawabnya.

Semua kejayaan ini tidak akan dapat dikecapi seandainya institusi pendidikan seperti sekolah tidak positif terhadap dasar ini. Hari ini terbukti bahawa warga guru bukanlah golongan yang tegar menentang dasar-dasar yang dirasakan baik untuk anak bangsa.

Apa yang lebih penting lagi dalam apabila melihat kemampuan pelajar kita cuba untuk menjawab dengan menggunakan bahasa Inggeris ini ialah betapa perlunya nilai-nilai positif seperti keyakinan, survival terus disemai dan dipupuk kerana sudah pastilah nanti negara kita akan berjaya melahirkan modal insan yang berkelas pertama.

Inilah yang dikatakan oleh sarjana Islam bahawa jika mahu melihat negara pada masa akan datang, maka lihatlah generasinya hari ini.

Kewajaran IPTA lantik pakar luar lonjak kecemerlangan

KEPUTUSAN pihak pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melantik pakar asing untuk melonjakkan kecemerlangan, adalah wajar dan sejajar proses pemindahan teknologi serta kepakaran pelbagai bidang dalam menempuh arus globalisasi.

Amalan yang sudah dilaksanakan sejak lebih 50 tahun lalu itu menjadi tradisi bermula dengan menjemput profesor luar memeriksa bahan penyelidikan ilmiah pelajar hinggalah kepada membawa masuk profesor pelawat.



Malah, pada permulaan sesebuah universiti sekitar 1960-an dan 1970-an, puluhan profesor luar dibawa masuk dengan bayaran lumayan.

Tokoh Akademik, Prof Diraja Ungku Aziz, berkata era masa kini menuntut ahli akademik lebih kreatif dan inovatif dalam membawa institusi mereka ke persada antarabangsa bagi membolehkannya berada sebaris universiti terkemuka dunia.

Apa yang lebih penting, katanya, pemilihan pakar perlu tepat dengan mengambil kira pelbagai faktor serta memberi peluang kepada mereka yang benar-benar layak secara teori dan praktikal selain sudah mencatatkan kejayaan membanggakan.

Beliau berkata, pelantikan itu berbentuk pelaburan yang tidak dapat diukur dalam bentuk wang ringgit dan hasilnya juga tidak dapat dilihat dalam tempoh jangka pendek.

"Segala kemajuan mahupun kejayaan yang dikecapi sesebuah institusi adalah hasil pelaburan. Pelantikan pakar asing juga antara bentuk pelaburan dan hasilnya akan dinikmati dalam tempoh jangka panjang.

"Kita perlu melihat keputusan yang dibuat hari ini adalah untuk kebaikan generasi akan datang. Pihak universiti perlu memantau sumbangan pakar berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelantikan serta pelaburan mencapai objektif diharapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan IPTA melantik pakar asing dalam melonjakkan kecemerlangan pendidikan.

Baru-baru ini, akhbar serta ahli politik mempersoalkan kewajaran pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melantik pakar bedah laparoskopik warga Australia, Prof Dr Tan Hock Lim sebagai Profesor Ulung.

Pelantikan itu dibincangkan kerana menganggap gaji ditawarkan kepada Dr Tan iaitu AS$48,000 sebulan begitu lumayan. Keputusan yang menimbulkan ketidakpuasan pihak tertentu, kata Ungku Aziz, semua pihak berhak bertanya dan membincangkan isu berkenaan.

Bagaimanapun, katanya ia adalah sesuatu amalan positif dalam proses pemindahan teknologi dan pengetahuan untuk dimanfaatkan bersama. Pelantikan Dr Tan, katanya, wajar kerana ia membabitkan usaha mewujudkan pusat pembedahan termaju yang masih belum ada di rantau ini.

Malah, kepakaran yang dimiliki pakar berkenaan adalah sesuatu yang subjektif untuk diukur kerana memerlukan kepakaran serta kemahiran tinggi dalam bidang berkaitan yang tidak ada pada semua individu.

Bagaimanapun, Tokoh Sejarawan, Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim pula mempunyai pendapat berbeza kerana katanya, dewan Parlimen bukan medan sesuai membincangkan keputusan ahli akademik melantik pakar antarabangsa.

Beliau berkata, tindakan sesetengah Ahli Parlimen itu katanya, seolah-olah menuding jari hinggakan kejatuhan ranking IPTA oleh badan penarafan Times Education Supplement turut dikaitkan dengan faktor gender yang jelas menggambarkan kecetekan pemikiran.

Katanya, mereka yang membincangkan isu berkenaan langsung tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan mengenai senario akademia negara.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan keputusan IPTA melantik pakar terkemuka dalam melonjakkan kecemerlangan dengan kadar upah berbaloi. Ini adalah aliran global dalam mengejar arus pembangunan.

Katanya, keputusan sama dilaksanakan Singapura dengan mengambil pakar dari Amerika Syarikat. Hasilnya, institusi pengajian tinggi di republik berkenaan berjaya meningkatkan kualiti dan kini berada sebaris universiti terkemuka dunia.

Kemasukan pakar asing ini juga mampu menyuntik semangat cendekiawan tempatan untuk terus bersaing secara sihat. Menerusi proses ini, masing-masing berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang sekali gus memindahkan teknologi dan kepakaran untuk dimanfaatkan bersama.

Khoo berkata, negara tidak perlu ghairah membawa pakar asing hingga mengetepikan sarjana tempatan hingga membantutkan semangat mereka untuk terus berbakti kepada negara.

Bagaimanapun, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, ketika diminta mengulas kewajaran universiti melantik Dr Tan berkata, tindakannya wajar kerana tokoh yang dilantik terbukti sudah mencatat kejayaan dan diiktiraf pada peringkat global.

Dr Tan anak kelahiran Malaysia adalah antara segelintir pakar bedah pediatrik yang berkemahiran dalam endoskopi atau apa yang dikatakan minimally invasive surgery laparoskopik yang ada di dunia. Sebelum dilantik, universiti mendapat rujukan dan sokongan daripada pakar terkemuka dalam bidang berkaitan.

Sharifah Hapsah berkata, Dr Tan juga pernah menerima tawaran sama untuk mewujudkan pusat berkenaan di Singapura selain tawaran daripada universiti terkemuka di United Kingdom.

"Saya bersyukur kerana beliau sedia berkhidmat di Malaysia yang dianggapnya sebagai peluang keemasan untuk berbakti di negara tanah tumpah darahnya selepas 43 tahun menempa pelbagai kejayaan dalam bidang yang diceburi di Australia.

"Sebaik pelantikannya, satu Pusat Kemahiran Pembedahan Terkini (ASSC) ditubuhkan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Penubuhan ini menjadikan Malaysia muncul negara pertama di rantau ini mempunyai kemudahan sedemikian.

"Hasil penubuhan ASSC juga berjaya membawa masuk pelabur iaitu syarikat berpangkalan di Lembah Silikon Tuttlingen, Jerman, Karl Storz yang bersetuju menyediakan peralatan dewan bedah dengan kos bernilai RM6 juta selain RM1 juta yang sudah dipersetujui syarikat farmasi antarabangsa dalam bentuk biasiswa kepada pelajar yang layak.

"Persetujuan dimeterai menerusi surat hasrat pemberian dana yang ditandatangani di PPUKM baru-baru ini," katanya.

Sumbangan itu, kata Sharifah Hapsah melengkapkan ASSC UKM dengan peralatan endoskopi terkini yang membolehkan kursus bertaraf antarabangsa dan penyelidikan lanjutan dalam key hole surgeri dan melatih pakar bedah dalam bidang berkenaan.

Mengenai bayaran, beliau berkata, UKM begitu teliti dalam membuat keputusan dengan amalan negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura yang juga membawa masuk pakar luar. Sebenarnya negara berkenaan menawarkan ganjaran lebih tinggi nilai daripada apa yang ditawarkan UKM.

Di sebuah universiti di United Kingdom, pakar seperti Prof Tan dibayar sekitar 1.5 hingga 2 juta pound sterling bagi tempoh kontrak empat tahun. Untuk menjayakan hasrat melonjak prestasi pengajian tinggi dengan cepat ke hadapan, kita perlu mempunyai mentaliti melabur secara jangka panjang.

Cetak artikel | Hantar

Sunday, November 2, 2008

Kanak-kanak lebih patriotik


Peranan keluarga penting untuk membentuk masyarakat bersatu padu RAMAI yang berpendapat kanak-kanak lebih bersatu berbanding orang dewasa kerana mereka tidak membataskan rakan menerusi pengkelasan warna kulit, kaum, agama dan latar belakang keluarga. Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Rozumah Baharudin, berkata kanak-kanak lebih cenderung untuk bergaul mesra kerana pergaulan itu berlandaskan aktiviti seperti bermain dan permainan yang mereka sukai.
Oleh itu, katanya kanak-kanak dilihat lebih bersatu, walaupun pada hakikatnya penyatuan itu berlaku kerana mereka mempunyai minat yang sama. Beliau menjelaskan kanak-kanak adalah naif dan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan atau adil, malah membuat penilaian tidak berdasarkan nilai dan persepsi seperti orang dewasa. “Persepsi dan nilai yang dipegang orang dewasa banyak mempengaruhi tingkah laku mereka. Orang dewasa juga banyak dipengaruhi sosialisasi dan pengalaman hidup dalam membentuk nilai dan persepsi. Oleh itu, penting pada peringkat awal lagi, setiap individu disosialisasi oleh keluarga dan masyarakat dengan nilai yang positif seperti bekerjasama, hormat menghormati, baik sangka dan nilai murni yang lain,” katanya.
Semangat perpaduan perlu disemai dalam jiwa anak sejak kecil.
Prof Rozumah berkata, orang dewasa terdorong untuk memperjuangkan fokus dan minat masing-masing dan andaian yang menyatakan kanak-kanak lebih bersatu berbanding orang dewasa adalah tidak tepat. “Orang dewasa lebih memfokuskan dalam tumpuan hidup dan kerjaya serta cenderung melaksanakan dan memperjuangkan hanya apa yang bermakna bagi mereka, seolah-olah mereka kurang bersatu,” katanya. Persoalannya bagaimana hendak menyatukan kepelbagaian yang tidak dapat dielakkan dalam kalangan orang dewasa? Jawapannya, banyak bergantung kepada siapa yang ‘mentadbir dan mengurus’ mereka sama ada dalam masyarakat, atau mana-mana organisasi. Prof Rozumah berkata, mengikut kajian sosial peranan keluarga sangat penting untuk memupuk perpaduan di kalangan kanak-kanak dan membentuk masyarakat yang bersatu padu.
“Ketika ini, memang ada keluarga di Malaysia yang mensosialisasikan ahli keluarganya ke arah perpaduan kerana mereka faham bahawa keluarga adalah asas pembentukan masyarakat dan negara. Langkah pertama untuk perpaduan perlu bermula dalam keluarga. “Tidak dinafikan kadangkala wujud sikap ‘xenophobia’ atau sikap benci kepada orang asing disebabkan asuhan keluarga,” katanya. Beliau menjelaskan selain keluarga, institusi dan ejen sosialisasi yang lain seperti sekolah dan media perlu sentiasa memupuk semangat perpaduan dan nilai murni. Usaha berkenaan perlu dilakukan secara konsisten dan bukan bermusim. Beliau menyatakan pembangunan manusia atau kanak-kanak dipengaruhi dua unsur besar iaitu sistem mikro dan makro yang memainkan peranan utama dalam pembinaan peribadi terutama di peringkat awal usia individu. “Jika sistem ini diabaikan pada peringkat awal maka sukar menangani gejala negatif yang ‘mewarnai’ individu itu ketika dewasa. Di peringkat mikro, elemen yang paling berpengaruh untuk pembentuk peribadi adalah keluarga manakala di peringkat makro, ini adalah tanggungjawab kerajaan dan pembuat polisi. Maka perlu ada ‘blue print’ untuk membudayakan cara hidup perpaduan dan nilai murni. “Pengaruh sistem makro untuk pembentuk peribadi sangat kuat dan ia juga mempengaruhi bagaimana sistem mikro perlu bertindak. Tabika Perpaduan dan sekolah campur adalah elemen dalam sistem makro yang dijangka mampu memupuk semangat perpaduan dan penerimaan kepelbagaian cara hidup warga Malaysia,” katanya. Di peringkat kanak-kanak, jika semangat perpaduan itu dipupuk dan disemai oleh ibu bapa dan guru, maka lebih mudah untuk membentuk mereka menjadi insan yang mudah menjalinkan kerjasama serta bersatu dengan orang lain. Sebenarnya, tanpa pengajaran formal pun, kanak-kanak dapat menterjemahkan perpaduan itu menerusi perilaku dan kelakuan yang mereka lihat daripada orang dewasa. Contohnya, jika kita berjiran dengan bangsa lain, ibu bapa tidak memusuhi jiran, saling hormat menghormati dan mengambil berat hal ehwal tetangga, perkara ini akan diikuti oleh generasi muda. Sementara itu, penulis berkesempatan menghabiskan masa bersama kanak-kanak di Tabika Perpaduan Happy Garden, Jalan Kuchai Lama meraikan kempen kibar Jalur Gemilang. Uniknya, Tabika ini mengumpulkan anak-anak daripada pelbagai kaum, Melayu, Cina, India, Iban dan Bidayuh. Malah ada beberapa kanak-kanak daripada perkahwinan campur, bapanya Cina dan ibunya India, bapa Melayu dan ibunya Cina. Guru yang mengajar kanak-kanak di situ adalah orang Melayu manakala pembantunya Cina manakala majoriti jawatankuasa Tabika itu adalah masyarakat Cina. Perpaduan kaum juga jelas dilihat apabila ibu bapa dan beberapa ahli jawatankuasa Tabika turut hadir memeriahkan kempen kibarkan Jalur Gemilang. Seramai 34 kanak-kanak mengambil bahagian dan apabila ditanya mengenai perpaduan, kebanyakannya tidak mengerti walaupun hakikatnya mereka memang bersatu padu dan bekerjasama menjayakan kempen kibar Jalur Gemilang itu. Bermakna perkataan “Perpaduan’ itu bukan pengukur kepada kerjasama dan kesefahaman atau apa yang dipraktikkan mereka. Terfikir juga, kenapa orang dewasa yang lebih berupaya berfikir dengan kritis, selalu terlupa mengenai semangat perpaduan dan lebih menekankan isu perkauman sehingga mencetuskan kemarahan dan lebih teruk lagi konflik serta rusuhan yang menggugat keamanan negara.

Matrikulasi rapat jurang dengan bukan Bumiputera

Program beri pendedahan cukup kepada pelajar sebelum ke IPTA

Datuk Seri Najib Razak berkata program matrikulasi yang diwujudkan kerajaan berjaya merapatkan jurang antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terutama dalam bidang kritikal.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemasukan pelajar dalam program matrikulasi yang menggunakan kaedah meritokrasi mampu menambah bilangan siswazah Bumiputera dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, seni bina, perakaunan dan pengurusan.

Beliau berkata, sebelum program matrikulasi, pelajar Bumiputera yang cemerlang pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tersekat pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang lulusannya didominasi pelajar bukan Bumiputera.

Berikutan itu, katanya, kerajaan akan memastikan program ini berada pada tahap terbaik dari segi pengurusan dan kurikulumnya supaya sentiasa relevan bagi memenuhi keperluan semasa dari dalam dan luar negara.

"Pewujudan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan secara berpusat bagi menggantikan program matrikulasi yang dikendalikan universiti tempatan, ternyata memberi impak dan perubahan amat ketara dalam sistem pendidikan kita.

"Pelajar bukan Bumiputera turut diberi peluang memasuki matrikulasi apabila 10 peratus tempat diberi kepada mereka dan secara tidak langsung, sistem matrikulasi berjaya memberi pendedahan dan persediaan secukupnya kepada pelajar sebelum ke IPTA," katanya.

Monday, September 29, 2008

Ingati warga emas sambut raya bersendirian

Alhamdulillah, 1 Syawal menjelang lagi dan tahun ini merupakan sambutan berganda apabila Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Oktober 2008 yang juga Hari Warga Emas.

Dalam kesibukan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri, terfikirkah kita akan segelintir insan di rumah warga emas dan mereka yang bergelar warga emas di serata negara yang menyambut kedatangan 1 Syawal bersendirian?

Aidilfitri menjadi suatu yang nostalgik dan memori pilu bagi mereka yang ditinggalkan untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan sama ada keseorangan di rumah sendiri mahupun di rumah warga emas. Sepanjang Ramadan, lumrahnya terpampang di dada akhbar gambar dan berita pelbagai pihak, baik korporat atau ahli politik yang menyampaikan derma dan sedekah kepada yang kurang bernasib baik antaranya golongan anak yatim, orang kurang upaya, fakir miskin dan warga tua.

Namun, apabila Syawal menjelma, tiada pula kedengaran berita orang perseorangan atau kumpulan yang mengunjungi mereka di rumah warga emas kerana masing-masing sibuk dengan sambutan raya masing-masing di kampung atau bersama keluarga.

Pernah beberapa wawancara akhbar disiarkan yang memaparkan kisah warga emas menyambut 1 Syawal bersendirian. Namun berapa ramai yang terdetik untuk menyambut Aidilfitri bersama mereka.

Setiap pagi raya, setelah solat Aidilfitri dan menziarahi kubur, ahli keluarga berkumpul di rumah keluarga dan bersalam- salaman dengan semua ahli keluarga daripada yang paling tua hinggalah yang paling muda. Yang berpangkat datuk dan nenek terhibur dengan kunjungan anak dan cucu-cicit di pagi raya.

Setelah bersarapan pagi, mereka keluar beraya ke rumah kaum keluarga dan sahabat handai.
Satu amalan terpuji apabila mengunjungi saudara-mara yang berpangkat datuk atau nenek yang tinggal bersendirian tetapi janganlah pula menyerbu ke rumah mereka dengan konvoi kereta dan minta dilayan seadanya pula!

Fikirkanlah, bagi mereka yang tinggal bersendirian di rumah warga emas, mungkinkah mereka dapat merasai kembali kemeriahan kunjungan anak cucu di pagi raya?

Justeru di hari raya ini, jika ada kesempatan atau apabila lalu di hadapan rumah warga emas semasa keluar beraya, singgahlah untuk beraya bersama mereka.

Wednesday, September 24, 2008

Rombak pengajaran bahasa Inggeris besar-besaran

FAKTOR minat adalah perkara paling penting untuk pelajar "jatuh cinta" terhadap pelajarannya. Tambahan pula, subjek berteraskan sains dan matematik menagih minat yang tinggi selain daripada kepintaran sebagai nilai tambah.

Persoalannya, adakah seluruh pelajar yang menempuh pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kini minat dengan apa yang mereka pelajari?

Bagi golongan pelajar bandar mungkin soal tersebut tidak menjadi masalah lantaran latar ekonomi dan sosial keluarga serta persekitaran yang banyak membantu. Namun, bagaimana dengan pelajar luar bandar dan pedalaman yang merupakan kumpulan dominan pelajar di negara ini?

Memang benar bukan semua pelajar luar bandar bermasalah dengan pelaksanaan dasar tersebut tetapi statistik keciciran yang tinggi di kalangan pelajar luar bandar perlu diberi perhatian.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Mohd Radzi Abd Jabar seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tahun lalu, kadar keciciran pelajar sekolah rendah dan menengah luar bandar masing-masing adalah 1.2 peratus dan 16.7 peratus setahun.

Apabila disebut luar bandar, semestinya kita sedia maklum sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak Melayu manakala di Sabah dan Sarawak pula adalah murid-murid Bumiputera.

Seperti perumpamaan dari mata turun ke hati, begitulah dengan tahap minat pelajar hari ini terhadap subjek sains dan matematik.

Jika penguasaan bahasa Inggeris pun masih lemah, tidakkah minat mereka untuk belajar sains dan matematik juga cenderung akan goyah?

Bagaimana minat mahu menguasai kedua-dua matapelajaran tersebut akan timbul seterusnya dapat "turun ke hati" iaitu memahami apa yang dipelajari?

Analisis keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu misalnya menunjukkan 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini belum ditambah dengan jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C.

Bagaimanakah penerimaan seterusnya pemahaman hampir 300,000 murid dari kelompok tersebut menelaah subjek Sains dan Matematik bermula di Tingkatan Satu tahun depan?

Lunturnya minat mereka untuk belajar disebabkan faktor halangan bahasa dikhuatiri mendorong mereka untuk memberontak sehingga terjebak dalam pelbagai bentuk aktiviti tidak sihat seperti mengganggu pembelajaran rakan sekelas dan ponteng kelas.

Peluang lebih ramai pelajar yang sebenarnya berkebolehan dalam sains dan matematik tidak mustahil akan 'tercantas' oleh lemahnya penguasaan bahasa Inggeris. Malah, perlu ditegaskan bukan semua yang mahir dan menguasai bahasa Inggeris turut berkebolehan dalam sains dan matematik.

Menyedari hakikat bahawa faktor minat berkait rapat dengan penggunaan bahasa yang dekat dengan jiwa dan akal budi bangsanya maka adalah lebih baik subjek-subjek tersebut kembali diajar dalam bahasa kebangsaan.

Demi kebaikan jangka panjang bangsa Malaysia, PPSMI wajar dimansuhkan diganti dengan rombakan besar-besaran terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris jika benar mahu melihat pelajar kita menguasai bahasa antarabangsa itu.

Monday, September 15, 2008

Sistem penilaian baru boleh pertingkat kualiti prestasi murid

KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan sistem penilaian baru bagi murid sekolah rendah mulai 2010 seperti diumumkan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom, kelmarin membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius mahu mengubah sistem penilaian berasaskan peperiksaan kepada sistem penilaian prestasi berasaskan sekolah yang lebih menyeluruh. Jika semuanya berjalan mengikut jadual bermakna mulai 2015, prestasi murid tidak lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti sekarang, sebaliknya peperiksaan itu hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah penuh yang akan digabungkan dengan empat lagi penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian. Kita yakin pengenalan sistem baru itu mampu memperkasakan pendidikan dengan tujuan mengembalikan pendidikan sebagai wadah membentuk insan berpengetahuan dan berakhlak. Ia juga lebih relevan dengan keperluan negara kepada modal insan, yang bukan saja mampu melahirkan murid berketerampilan dan berilmu pengetahuan, malah memiliki sahsiah tinggi, berakhlak mulia, kreatif, berani melakukan perubahan dan menghadapi cabaran. Buat masa ini, penilaian berasaskan sekolah tidak menyeluruh dan hanya meliputi beberapa mata pelajaran seperti kerja kursus Ujian Perkara Asas Fardu Ain (Pafa), Penilaian Kerja Amali (Peka) serta Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kita yakin dengan sistem baru itu, peluang untuk menjana kecemerlangan akan lebih terbuka dan tidak terhad kepada kategori murid cemerlang akademik semata-mata tetapi juga termasuk murid yang cenderung kepada bidang kemahiran lain dan aktif kokurikulum.

Bagaimanapun, seperti dinyatakan Alimuddin memang ada pihak yang kurang bersetuju jika sistem baru melaksanakan peperiksaan seragam seawal Tahun Satu. Cadangan itu tidak selari dengan matlamat sistem baru yang bertujuan untuk mengurangkan peperiksaan. Lagi pun, dalam sistem yang ada sekarang, peperiksaan awam yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hanya diduduki apabila seseorang murid berada di Tahun Enam. Jika ini berlaku, kita bimbang matlamat untuk mengurangkan tekanan ke atas murid kesan daripada sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan tidak akan tercapai, sebaliknya mereka akan berasa lebih tertekan kerana harus membuat persediaan setiap tahun sehingga ke Tahun Enam. Oleh itu, latihan guru harus disemak semula supaya ia lebih relevan dengan peranan mereka yang bukan sekadar mengajar di kelas, tetapi perlu menilai pelbagai aspek kemahiran lain yang dimiliki pelajar. Walaupun sistem ini memberi kuasa kepada pihak sekolah dan guru menjalankan sendiri penilaian terhadap muridnya, kementerian harus mengeluarkan garis panduan bagi menyeragamkan cara pelaksanaannya.