Tuesday, February 19, 2008

IPT perlu pengurusan cekap

KEKUATAN dan kejayaan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) hanya dapat dicapai melalui kepemimpinan dan pengurusan cemerlang, hasil perancangan jangka panjang termasuk mempersiapkan bakal pemimpin dari kalangan tenaga akademik.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata setiap IPT perlu mengenal pasti calon di kalangan tenaga akademik di IPT masing-masing untuk dilatih bagi membolehkan mereka menjadi pemimpin di universiti berkenaan suatu hari nanti.

Katanya, kumpulan pertama yang perlu dikenal pasti adalah dekan di fakulti atau pusat pengajian untuk didedahkan aspek kepemimpinan berikutan tanggungjawab dan peranan mereka yang besar terutama soal perancangan.

"Setiap institusi yang hebat harus ada perancangan antara lima hingga 10 tahun akan datang," katanya ketika merasmikan seminar Kecemerlangan Fakulti: Strategi dan Implikasi anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi di Shah Alam, kelmarin. Mustapa berkata, IPT perlu mencontohi pengurusan Khazanah Negara Berhad (Khazanah) yang hanya bermula sebagai entiti perakaunan milik Kerajaan Pusat yang mengurus dan menyenggara aset negara, tetapi kini ia menjadi institusi disegani dan memiliki pelaburan di India dan Indonesia.

"Ia dipimpin orang yang dipilih melalui sistem dianggap telus dan mereka bukan saja mampu menjana idea, malah melaksanakan idea itu. Saya ingin nasihatkan kepada kepemimpinan IPT untuk menjadikan pengalaman Khazanah sebagai teladan.

"IPTA sama seperti Khazanah iaitu entiti kerajaan dan ia mempunyai sedikit kebebasan," katanya. Mustapa berkata, dekan yang dikenal pasti perlu didedahkan teknik pengurusan terkini, selain IPTA harus bersedia bekerjasama dengan pengurusan IPT swasta.

Selain itu, katanya, IPTA juga harus menyediakan suasana akademik lebih telus dan kondusif bagi memberi semangat dan menarik lebih ramai tenaga akademik terbaik untuk menyertai atau kekal di universiti masing-masing. Beliau berkata, antara perkara yang boleh dilakukan termasuk memberi penghargaan kepada ilmuan terkemuka dan mencapai kejayaan.

"Sebagai contoh, pagi tadi (kelmarin) kami sudah bermesyuarat dan bersetuju untuk menambah bilangan profesor 'super scale' A iaitu gred tertinggi dalam kerajaan.

“Sebelum ini, hanya lima enam orang saja menjadi profesor gred A tetapi sekarang dah ada 30 orang. "Saya sudah arahkan kepada semua IPT untuk mengenal pasti profesor di gred C dan B yang cemerlang untuk diiktiraf dan diberikan kenaikan ke gred A yang setaraf jawatan Ketua Setiausaha," katanya.

Sunday, February 10, 2008

Menentukan pilihan pembaca

FAKTOR psikologi dan kepuasan diri banyak membantu pembaca menentukan sama ada memilih untuk membaca berita secara bercetak (printed) atau dalam talian (online).

Secara psikologinya, kepuasan dapat memegang akhbar yang dibaca serta dapat menyerap dan memproses maklumat yang dibaca sambil membelek-belek muka surat khabar mengikut fasa dan keupayaan sendiri, memberi satu kelebihan kepada surat khabar bercetak berbanding surat khabar online.

Satu kajian di Jerman pada tahun 1997 menunjukkan dua pertiga subjek kajian masih lagi memilih membaca berita melalui surat khabar bercetak berbanding secara online atas sebab-sebab tertentu terutama sekali kepuasan psikologi.

Peranan akhbar bercetak masih sangat relevan kerana sebarang keputusan untuk mengeluarkan berita secara online masih lagi terletak pada keputusan orang penting dalam surat khabar bercetak.

Penggunaan teknologi dan medium komunikasi baru memberi peluang dan risiko tersendiri dalam pelbagai aspek. Dalam dunia perniagaan media, world wide web (www) memberi impak kepada surat khabar bercetak. Surat khabar tanpa kertas kini boleh memberi pelbagai kesan kepada akhbar yang masih menjalankan perniagaan secara tradisional.

Soalan

Satu projek kajian yang bertajuk Online - the future of newspapers? yang ingin melihat penggunaan surat khabar online telah dilakukan di Jerman. Kajian dilakukan ke atas kesemua 81 suratkhabar harian yang mempunyai akses kepada www. Kajian yang berbentuk soal selidik diletakkan di dalam web dan boleh diakses melalui laman web akhbar yang mengambil bahagian. Selain daripada soalan yang berbentuk soal selidik, temu duga ke atas pegawai kanan sidang pengarang surat khabar juga dilakukan.

Antara dapatan kajian ialah pembaca lebih menyukai surat khabar bercetak atas sifatnya yang lebih fleksibel dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja.

Walaupun akhbar bercetak masih menjadi pilihan, akhbar online mempunyai kebaikan tersendiri. Antaranya, maklumat lebih mudah diperoleh melalui surat khabar online. Sebanyak 22 daripada 27 surat khabar yang mengambil bahagian dalam kajian ini menyiarkan berita secara online sebelum akhbar bercetaknya menerbitkan edisinya (secara bercetak). Maklumat secara online juga sering dikemas kini. Ini ditambah pula pembaca boleh membaca akhbar online secara percuma.

Surat khabar online dari segi teknikal berupaya mengatasi media bercetak dari segi menarik pembaca. Antaranya maklumat di akhbar online dikatakan lebih interaktif, lebih mudah dikemaskini, mudah kepada akses arkib. Memandangkan ia tidak memerlukan penggunaan kertas, ia tiada menghadapi masalah pelupusan kertas.

Akhbar online juga mempunyai kelemahannya. Satu kelemahan ketara membaca akhbar secara online ialah pembaca merasakan tidak semua berita yang keluar dalam surat khabar bercetak dikeluarkan secara online.

Apa yang lebih penting ialah membaca berita secara online tidak dapat memberi pengalaman seperti membaca akhbar bercetak, masa untuk muat turun ada kalanya lama dan tidak boleh dibawa ke mana-mana.

Kewangan adalah salah satu masalah bagi akhbar online. Pengiklan masih lagi agak ragu-ragu untuk mengiklan produk mereka dalam akhbar online dan pembaca pula tidak membayar maklumat yang dibaca. Hanya tiga daripada surat khabar yang terlibat dalam kajian ini mengenakan bayaran sekiranya pembaca ingin mendapatkan maklumat lanjut dalam mereka penggunaan arkib.

Tenaga kerja di akhbar online adalah lebih muda berbanding dengan tenaga kerja di akhbar bercetak. Hampir separuh dari mereka mempunyai kelayakan dalam bidang tugas kewartawanan. Tugas-tugas yang melibatkan kerja teknikal juga semakin penting dalam akhbar online.

Apa yang sangat penting ialah sebarang keputusan untuk mengeluarkan berita secara online masih lagi terletak pada keputusan sidang pengarang surat khabar bercetak. Atas sebab itu jugalah kajian ini mendapati maklumat secara online adalah duplikasi daripada surat khabar bercetak. Artikel jarang diedit. Ada yang diringkaskan. Bagaimana maklumat secara online sering dikemas kini.

Banyak lagi maklumat yang boleh didapati berhubung kait dengan akhbar online dari kajian ini. Rumusannya, walaupun pembaca masih memilih akhbar bercetak atas sebab-sebab tertentu, keupayaan membaca berita secara online semakin menarik minat pembaca tidak boleh diambil ringan.

Usaha seperti menambahkan jumlah pengiklan di akhbar adalah satu cara di mana syarikat akhbar yang sama dapat sama- sama menerbitkan berita dalam medium bercetak dan online tanpa menghadapi masalah dari segi kewangan, jualan dan pengedarannya.

* DR. SAPORA SIPON Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sistem pendidikan tidak pernah pinggirkan kaum

DATA tahun lepas menunjukkan terdapat 531 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara mengalami masalah kekurangan murid.

Terdapat kurang daripada 150 orang murid belajar di sekolah-sekolah tersebut.
Malah di SJKC Ladang Bukit Keledek, Air Kuning Selatan di Gemenceh, Negeri Sembilan hanya ada empat orang murid.

SJKC Central Hights di Segamat pula terdapat dua orang murid dan tiga guru manakala di SJKC Padang Gajah di Beruas ada dua orang murid dan dua orang guru.

Jika dilihat pada angka-angka tersebut, sudah pasti timbul persoalan mengapa tidak ditutup sahaja sekolah-sekolah berkenaan.

Bukankah lebih baik murid-murid dan guru-guru yang tidak sampai sepuluh bilangannya itu ditempatkan di sekolah lain atau biarkan sahaja mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK).

Biarpun faktanya sedemikian, namun sekolah-sekolah itu dibenarkan untuk terus beroperasi bagi memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat.

Tidak timbul soal menutup sekolah-sekolah berkenaan jauh sekali terlintas di fikiran kerajaan untuk memansuhkan SJKC semata-mata kerana soal angka murid yang sedikit itu.

Ini didorong oleh keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sekolah jenis itu di kawasan-kawasan yang ada penduduk berketurunan Cina.

Terdapat juga kalangan ibu bapa kaum lain termasuk Melayu yang cenderung menghantar anak- anak mereka belajar di SJKC.

Sebab itu seperti yang ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, tidak timbul soal SJKC dipinggirkan jauh sekali ada niat untuk memansuhkannya daripada sistem pendidikan di negara ini.

Malah peruntukan jutaan ringgit untuk membangunkan SJKC serta melengkapkannya dengan pelbagai kemudahan jelas menunjukkan bahawa kerajaan terus mempertahankan sekolah tersebut.

Sesungguhnya agenda pembangunan pendidikan negara tidak pernah mengetepikan SJKC, pun begitu kerajaan tidak boleh memberikan tumpuan kepada sekolah jenis itu semata-mata.

Perlu ada keseimbangan tumpuan kepada SJKC, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan SK bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak tempang.

Jauh lebih penting ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar berjaya mencapai matlamatnya.

Begitu juga dengan usaha menyediakan guru yang bukan sahaja mencukupi malah berkualiti selain berusaha memperbaiki infrastruktur sekolah.

Kesemua usaha itu bertujuan memastikan sekolah di luar bandar dan di bandar mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira sama ada SJKC, SJKT atau SK.

Sesiapa sahaja yang memerlukan pembiayaan akan tetap diberi pembelaan. Bukan sebab aliran kaum tetapi sifat perikemanusiaan bahawa akses ilmu diperlukan oleh semua.

Budaya keintelektualan makin subur

HOLISTIK dalam konteks pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tidak terbatas kepada disiplin ilmu dan pemantapan kemahiran saja, malah turut merangkumi aspek pembangunan minda, spiritual, sahsiah dan etika.

Dengan kata lain, pembangunan modal insan turut memberi tumpuan kepada aspek ‘keinsanan’ yang terbina menerusi falsafah hidup, pegangan agama dan dokongan moral.

Modal insan dengan ciri-ciri itu memenuhi keperluan untuk membolehkan transformasi dan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia secara lebih struktural.

Ciri-ciri itu juga terangkum dalam gagasan minda kelas pertama dari penguasaan dan nilai ilmu martabat tinggi, sikap proaktif, berintegriti, berakhlak luhur, tidak mementingkan diri sendiri dan memberi sumbangan yang bermakna, tidak hanya indah dari segi ‘pelan induk dan perancangan’ saja.

Dalam bidang pendidikan, berdasarkan statistik, bilangan enrolmen dari peringkat sijil hingga Doktor Falsafah (PhD) meningkat menerusi institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Ini ketara dari segi jumlah enrolmen meningkat daripada 574,421 pada 2000 kepada 731,698 pada 2005 dan dijangka mencapai 1,326,340 menjelang 2010. Dari segi peratusan, penambahan enrolmen ini dijangka meningkat daripada 4.5 peratus bagi IPTA dan 5.5 peratus bagi IPTS dalam RMK-8 kepada 16.9 peratus bagi IPTA dan 6.7 peratus bagi IPTS dalam tempoh RMK-9.

Dengan adanya dasar proaktif, dinamisme dan keterbukaan dari segi pembangunan IPT baru dan penaiktarafan status universiti kolej kepada universiti pada 2006, maka kemampuan kita menyediakan peluang peringkat pengajian tinggi nampaknya semakin bertambah dan meluas.

Selain pencapaian tinggi dari segi kuantiti, RMK-9 juga menggariskan strategi untuk memastikan aspek kualiti juga meningkat dari segi komitmen ilmu, kemahiran insaniah, kemahiran kerjaya, gaya hidup dan minda kelas pertama.

Kualiti tidak seharus dibataskan kepada aspek luaran dan terikat kepada petunjuk kuantitatif seperti yang digunakan agensi penarafan atau Times Higher Education Suppliment (THES) yang meletakkan IPT Malaysia di tangga ratusan.

Kualiti perlu dilihat secara lebih holisitik dan tidak diukur dengan neraca angka saja. Yang nyata, tahap perkembangan intelektual di Malaysia bertambah subur dan disegarkan dengan idea, gagasan dan wawasan mantap. Ini dapat ditelusuri menerusi keterbukaan media massa, seperti yang diulas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam minggu lalu.

Selain itu, kita mempunyai pakar dan ahli ilmu dalam hampir setiap disiplin ilmu. Sejak kebelakangan ini ramai tokoh ilmuwan di Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa menerusi pelantikan, khidmat kepakaran, penerbitan dan anugerah.

Hal ini juga ada kaitannya dengan perwatakan, komitmen individu dan inisiatif Datuk Mustapa Mohamed sendiri. Sejak menerajui Kementerian Pengajian Tinggi, beliau meletakkan faktor kualiti sebagai teras untuk menjayakan transformasi pengajian tinggi agar pembangunan modal insan dapat dimartabatkan sebaiknya.

Faktor kualiti juga menjadi penanda aras untuk menilai kemajuan pengajian tinggi agar setanding dengan negara maju. Itulah yang tersurat dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 29 Ogos 2007. PSPTN menyediakan gagasan kukuh dan prasarana yang diperlukan untuk pembangunan minda kelas pertama menerusi persekitaran mesra ilmu, prointelektual dan kualiti berasaskan pencapaian. Minda kelas pertama tidak akan terbentuk dalam persekitaran yang sinonim dengan budaya hedonisme, ‘ampuisme’ dan rasuah.

Maka program integriti diberi tumpuan termasuklah pada peringkat IPT. Minda kelas pertama juga tidak akan bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik semata-mata. Persekitaran yang merangsang pembangunan minda kelas pertama menggariskan ukuran ilmu dan pencapaian kepada kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu.

Untuk itu modul kemahiran insaniah diperkenalkan pada 2006. Pada hemat saya, persekitaran, ruang dan bina upaya yang ada ketika ini adalah peluang paling strategik untuk kita menjayakan transformasi, pembaikan, inovasi, penyelidikan dan reka cipta dalam pelbagai aspek.

Dalam konteks semasa, istilah inovasi, penyelidikan dan reka cipta agak terhad dan nampaknya hanya menjurus kepada bidang sains dan teknologi dalam beberapa universiti awam dan pusat penyelidikan saja. Namun demikian, dalam konteks minda kelas pertama, semua pihak perlu melakukan pembaikan, inovasi, penyelidikan dan reka cipta dalam bidang masing-masing.

Inovasi tidak terbatas kepada disiplin ilmu yang memerlukan pengetahuan pada peringkat PhD dan geran jutaan ringgit. Sejarah sains dan teknologi di Eropah dan sebelumnya dalam tradisi intelektual dunia Islam dulu menunjukkan penemuan penting tidak hanya dilakukan ahli akademik di institusi pengajian tinggi saja, malah oleh golongan pedagang, mekanik dan petani. Antonie van Lewenhook, seorang pedagang gelas misalnya, mereka cipta mikroskop di Belanda. Begitu juga George Stephenson, pencipta lokomotif, yang mulanya bekerja sebagai kontraktor arang batu.

Tokoh Islam seperti Ibnu Sina dan Ar-Razi mempunyai kerjaya sendiri, bukan di menara gading. Sehubungan itu, inisiatif RMK-9 dan PSPTN adalah ‘blueprint’ yang sedang dilaksanakan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti pada semua peringkat. Inisiatif ini juga membuka mata dan minda rakyat agar lebih proaktif, dinamik dan berpengetahuan untuk melakukan pembaikan dan inovasi, di samping pemantapan asas akhlak dan keinsanan yang kukuh.

Inisiatif lain dalam PSPTN seperti memartabatkan lagi pengajian tinggi juga dirangka dari perspektif minda kelas pertama. Sesebuah universiti menjadi ternama bukan kerana pada pahatan nama bertinta emas, untaian sejarah ratusan tahun atau bangunan dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan canggih. Universiti menjadi ternama dan mendapat dokongan dalam dan luar negara kerana kualiti dan tradisi ilmunya yang terbilang, selain sokongan kewangan daripada kerajaan atau dermawan.

Ini membabitkan proses pemantapan ilmu dalam seluruh peringkat komuniti akademia, membabitkan profesor, penyelidik, pelajar dan staf sokongan. PSPTN juga menyediakan kerangka dan ruang untuk membolehkan universiti lebih berautonomi dan mempunyai kebebasan akademik. Dalam konteks semasa, autonomi dan kebebasan akademik bermakna keputusan berkaitan pembangunan dan perancangan bidang akademik seharusnya bebas daripada pengaruh dan desakan faktor luaran, birokrasi yang terlalu mengongkong, partisan, individualisme dan egoisme.

Dalam akademia, nilai ilmu sepatutnya menjadi neraca teratas dalam menentukan setiap keputusan, sama ada dari segi penentuan arah dan strategi pemantapan bidang, kepimpinan akademik, dan hal berkaitan seperti kenaikan pangkat dan pengurusan sumber. PSPTN juga menumpu kepada pengantarabangsaan IPT. Hal ini membabitkan pelbagai program seperti kerjasama penyelidikan, penerbitan, penganjuran seminar, mesyuarat saintifik dan pertukaran pelajar pascasiswazah dengan universiti ternama seluruh dunia.

Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi juga menyediakan biaya besar untuk membolehkan IPT mendapatkan khidmat ahli akademik ternama dalam program ‘brain gain’ sejak 2007. Pada hemat saya, seperti syarahan saya di Institut Teknologi Surabaya, Indonesia pada 25 Januari lalu, langkah strategik paling signifikan yang dimulakan pada 2007 ialah penarafan IPTA menerusi status universiti penyelidikan.

Dimulakan dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), dua buah IPTA lain dijangka akan menyusul tidak lama lagi seperti dirancang dalam RMK-9. Status universiti penyelidikan ini penting untuk membolehkan IPTA berkenaan memberi tumpuan kepada aktiviti penyuburan ilmu menerusi penyelidikan, inovasi dan pengajian siswazah dan tidak lagi terikat kepada pelbagai fungsi lain yang kadang kala menenggelamkan komitmen kepada kesarjanaan.

Dengan itu, kita menyediakan ruang untuk penyuburan ilmu secara lebih terancang dan sedikit sebanyak bersifat elitis. Ini perlu kerana universiti elit mempunyai peranan tersendiri yang sangat penting dalam mencorakkan sesuatu standard, citra dan budaya ilmu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Elit dalam konteks akademik yang saya maksudkan tidak bermakna hanya untuk golongan dan waris tertentu, sebaliknya kepada mereka yang terbaik dan berdaya saing, sama ada staf akademik dan sokongan, serta pelajar.

Demikian persekitaran dan perkembangan akademik di Malaysia yang semakin subur dan terarah. Transformasi pengajian tinggi yang diterajui Mustapa dijangka lebih menyerlah pada penghujung RMK-9. Hal ini bukan saja dirasakan oleh komuniti akademik tempatan malah ‘gempanya’ turut dirasakan di negara jiran sehingga saya diundang oleh rakan di Surabaya untuk berkongsi pengalaman. Yang pasti, sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui kepemimpinan negara, lonjakan berganda semakin ketara dalam dunia akademia tempatan, bukan saja pada petunjuk statistik dan kuantitatif, bahkan komitmen kesarjanaan dan penyuburan minda kelas pertama yang kian memberangsangkan.

Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM merangkap Pengerusi Kumpulan Pakar Negara Membangun bagi Pengurusan Air dan Sisa, Persatuan Air Antarabangsa

Sunday, February 3, 2008

Pelajar mesti kuat iltizam, berdisiplin untuk berjaya

MEMANG tidak wajar kita membandingkan pelajar 20 atau 30 tahun lalu dengan sekarang. Begitu juga perbezaan guru, ibu bapa dan persekitaran bagi tempoh itu.

Keadaan sudah jauh berbeza, kemunduran suatu waktu dulu dan pembangunan yang amat pesat ketika ini mengubah segala-galanya termasuk sikap manusia.

Minggu lalu saya ke sekolah anak selepas dipanggil guru untuk membincangkan pelbagai program dan usaha bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan tahun ini. Pada majlis itu, guru menyediakan program motivasi bukan saja kepada ibu bapa tetapi juga kepada pelajar berkenaan. Kedua-dua pihak diletakkan di sebuah dewan untuk mendengar ceramah berkenaan.

Sedang ibu bapa celik mata mendengar cerita menarik penceramah motivasi mengenai kehidupannya yang ketika sekolah menengah hanya pelajar biasa dan pada kedudukan corot walaupun tidak paling corot, tapi kini menjadi antara orang yang berjaya.

Namun ceramah motivasi itu langsung tidak menarik minat segelintir pelajar berkenaan. Mereka bukan saja tidak mendengar, malah ada yang tidur dan sengaja membuat 'bunyi' yang amat menyakitkan hati. Kalau dulu lirikan ekor mata ibu atau ayah amat menggerunkan, namun segelintir anak ini langsung tidak mempedulikan ibu bapa yang hadir walaupun sesetengah daripada kami menoleh ke arah mereka.

Sebagai ibu yang menghadiri majlis itu, kita memang bersyukur kerana guru memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai pentingnya pendidikan dan program yang tersusun untuk anak yang akan mengambil peperiksaan besar tahun ini.

Sekurang-kurangnya ibu bapa tahu apa yang perlu dilakukan selepas mendapat penjelasan daripada mereka ter-utama bagi pelajar lemah. Saya tidak pasti sama ada senario pelajar tidak peduli ini berlaku di mana-mana saja. Atau guru sudah tidak kisah jika murid berbuat demikian tanpa menegur perbuatan mereka.

Atau ada cara lain yang perlu guru, sekolah dan ibu bapa sendiri lakukan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak ini. Mungkin kelas motivasi yang lebih keras sesuai bagi pelajar. Inilah sukarnya menjadi guru, serba tak kena. Hendak marah pun susah kalau didiamkan anak murid buat tak tahu dan pelbagai kerenah dan cabaran yang perlu mereka harungi.

Sebagai ibu bapa termasuk saya sendiri, nak ditegur pelajar berkenaan pun berasa sedikit takut. Apa kata nanti mereka tidak mendengar teguran kita dan buat tak tahu. Lebih bimbang jika mereka menjawab teguran kita dengan kasar.

Pada zaman ini semuanya tidak mustahil. Kes pelajar pukul cikgu pun tidak lagi menghairankan. Seingat saya, dulu jika ibu bapa dipanggil ke sekolah, pelajar akan duduk tegak di kerusi masing-masing walaupun mata mengantuk macam mana sekali pun. Itu mungkin cerita dulu yang sudah menjadi klise ketika ini dan anak sudah lali mendengarnya.

Mungkin sebab itu, mereka sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling. Jika melihat kepada tingkah laku pelajar berkenaan, tidak mustahil mereka akan menjadi antara yang tercicir jika tidak disedarkan sejak awal.

Kegagalan pelajaran dan disiplin pelajar tidak boleh disalahkan semuanya ke atas ibu bapa, guru, sekolah dan kementerian tetapi pelajar juga perlu bertanggungjawab. Anak dan remaja sekarang lebih matang kerana semua maklumat terdedah kepada mereka. Mereka hanya perlu mengautnya.

Jadi, sebagai anak walaupun hanya baru mencapai usia remaja jangan pandai menyalahkan orang lain tetapi mesti tahu tanggungjawab sendiri kerana kejayaan masa depan adalah atas usaha sendiri bukan orang lain.