Wednesday, January 30, 2008

Ulama Islam perlu versatil

WAN MOHAMAD SHEIKH ABDUL AZIZ

UNTUK mencapai Wawasan 2020 sebagai negara yang maju dengan rakyat yang cemerlang dan terbilang, sumber kemanusiaan yang mampu melaksanakan tugas terbaik, berakhlak dan bermoral sangat penting.

Sebagai sebuah negara Islam pula, modal insan yang hendak dan sedang dibangunkan perlulah berteraskan agama dan menuruti kehendak syarak.

Bagaimanapun, adalah suatu kerugian apabila golongan profesional berteraskan agama yang dilahirkan ‘lari’ daripada amanah dan tanggungjawab fardu kifayah global kepada tugasan urusan amalan yang menjadi fardu ain.

Jumlah kurang 1,000 pelajar aliran sains yang menyambung pengajian ke aliran agama bagi mendalami dan memahami sehingga hafaz al-Quran di institusi pengajian tinggi, menunjukkan ia kekurangan besar.

Lebih merugikan apabila golongan profesional ini meninggalkan kepakaran dalam kerjaya yang diceburi untuk memberi tumpuan pada aktiviti keagamaan semata.
Ini didedahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sambil menegur sikap golongan profesional Muslim yang meninggalkan profesion bagi menumpukan pada aktiviti keagamaan, beliau berkata, Jakim memandang serius fenomena tersebut.

Menurutnya, tindakan berhenti kerja untuk membuka kelas-kelas tahfiz dan mengajar agama sepenuh masa adalah kerugian besar kepada agama, bangsa dan negara.
“Ini budaya tahun 60-an dan 70-an dulu. Amalan ini tidak wajar terus berlaku kini dan budaya ini perlu segera dihentikan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Pembangunan Insan di Malaysia anjuran Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar sehari bertema Pembangunan Insan Teras Masyarakat Bertamadun itu dihadiri oleh pelajar dan pengajar institut pengajian tinggi.

Wan Mohammad sebaliknya mengesa golongan lulusan tinggi dalam agama menyambung pengajian mereka dalam bidang-bidang lain kepakaran selain daripada keagamaan.
Katanya, ini penting bagi mewujudkan golongan profesional berwibawa yang berlandaskan cara hidup dan budaya kerja Islam sejati.

“Sekarang kita hanya ada 997 orang sahaja pelajar sains yang belajar dan sambung pembelajaran ke aliran agama sehingga hafaz dan memahami al-Quran,” jelas beliau.
Negara kita, kata Wan Mohamad lagi, memerlukan ahli agama yang mahir dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi serta lebih ramai ahli sains Muslim yang memahami serta hafaz al-Quran untuk melahirkan cendekiawan profesional Islam sejati.

“Kita tidak perlukan golongan profesional untuk mengembangkan amalan-amalan dalam fardu ain kepada masyarakat, kerana ahli agama sudah banyak bagi melaksanakan tugas itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Seminar, Profesor Dr. Ab. Aziz Mohd Zain pula berkata, program itu diadakan dalam usaha menangani masalah ummah dan membantu kerajaan melahirkan modal insan berteraskan Islam yang baik.

Ini kerana kata beliau, dalam dakwah hasil paling penting yang mesti diutamakan ialah kesan dan sifat baik Islam yang boleh ditinggalkan kepada ummah.

“Ramai Muslim yang berjaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing tetapi tidak meninggalkan kesan yang baik ke atas apa yang telah dilaksanakan,” katanya.

Sedangkan tambah Ab. Aziz, tugas dan kerja dakwah ke atas setiap Muslim adalah tanggungjawab bersama dan ini termasuklah membangunkan modal insan yang baik.
Untuk itu tegas beliau lagi, dakwah tertakluk pada perubahan budaya, keadaan dan era yang berlaku sejak zaman para nabi dan rasul perlu diberi keutamaan.

“Tetapi matlamat umum dakwah sudah jelas dan tidak berubah serta tidak perlu diubah,” katanya.

Menurutnya, era pembangunan modal insan dalam dakwah masa kini adalah membangunkan sahsiah kemanusiaan bagi membentuk jati diri yang mampu menangkis sebarang masalah serta boleh mengubah perkara negatif kepada yang positif.

Monday, January 14, 2008

ISU YURAN SEKOLAH

Ibu bapa diminta 'tak berkira' dengan sumbangan


KEMENTERIAN Pelajaran mengakui peruntukan disalurkan ke sekolah setiap tahun tidak cukup bagi menampung semua aktiviti dirancangkan sekiranya sesebuah sekolah itu mempunyai banyak perancangan meningkatkan kualiti pelajar mereka.

Malah, Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata peruntukan kepada setiap sekolah diberi berdasarkan bilangan pelajar dan ia memang tidak mencukupi lantaran hampir semua sekolah kini mempunyai banyak aktiviti setiap tahun persekolahan.

Justeru, beliau amat berharap ibu bapa memahami peranan digerakkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing dalam membantu pihak sekolah memastikan setiap aktiviti untuk kemajuan anak mereka dapat dijayakan dengan sempurna.

Lantaran itu, bayaran berbentuk sumbangan kepada PIBG antara peranan ibu bapa dalam membantu memastikan anak mereka dapat terus menikmati pendidikan sempurna serta dimantapkan dengan aktiviti lain yang pastinya mempunyai objektif untuk kebaikan anak mereka.

Beliau ketika menjelaskan kekeliruan orang ramai berhubung pengumuman kerajaan memansuhkan yuran persekolahan, berkata walaupun yuran terbabit sudah dimansuhkan, bayaran lain berbentuk sumbangan masih diperlukan pihak sekolah untuk pelbagai aktiviti lain.

Namun, sekali lagi beliau menegaskan, sekiranya ibu bapa tidak mampu menjelaskan bayaran ditetapkan, mereka boleh dikecualikan daripada membayar atau menyelesaikannya secara ansuran kerana ia bukan sesuatu diwajibkan kepada setiap pelajar.


Berhubung permintaan banyak pihak supaya kementerian mengeluarkan garis panduan khusus untuk menyeragamkan bayaran berkenaan, Alimuddin berkata, pihaknya sudah mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah pada 30 September 2007 bagi mengkelaskan pakej pembayaran berdasarkan taraf ekonomi majoriti pelajar di sesebuah sekolah.

Namun, menyedari bahawa ada ibu bapa yang bersedia memberikan sumbangan sukarela, kementerian tidak berhasrat mengehadkan jumlah bayaran kerana ia masih terpulang kepada jawatankuasa PIBG bagi mengenal pasti jumlah bayaran yang mahu mereka kenakan.

"Mandat sudah diberikan oleh ibu bapa kepada PIBG untuk menjalankan kerja mereka dan memastikan semua aktiviti berjalan. Jadi, kenapa apabila PIBG memutuskan sesuatu keputusan, ada ibu bapa membantah dan merungut. Sepatutnya, mereka perlu akur dengan kepemimpinan pilihan mereka sendiri.

"Bagi saya, sesiapa yang suka membantah adalah golongan yang tidak tahu cara berpersatuan. Lagipun, bayaran dikutip bukan untuk tujuan lain selain untuk anak mereka sendiri. Janganlah nak berkira sangat untuk pendidikan anak," katanya yang kecewa dengan pelbagai rungutan ibu bapa mengenai bayaran PIBG baru-baru ini.

Bagaimanapun, Alimuddin mengakui bukan semua ibu bapa hadir dalam mesyuarat agung PIBG, malah bukan semua keputusan berhubung bayaran dibuat dengan mengambil kira suara ramai kerana kebanyakannya dibuat jawatankuasa PIBG sendiri atau berdasarkan pandangan pengetua.

Justeru, beliau menyarankan semua PIBG seluruh negara supaya mengedarkan borang kaji selidik kepada ibu bapa pelajar di sekolah masing-masing sebelum melaksanakan sebarang kutipan sumbangan walaupun sudah mendapat persetujuan semua ahli jawatankuasanya.

"Sekurang-kurangnya, dengan mengedarkan borang berkenaan, PIBG dapat membuat tinjauan dan mengumpul maklum balas semua ibu bapa sama ada bersetuju atau tidak dengan sebarang jenis sumbangan yang mahu dikutip daripada setiap pelajar.

"Namun, kementerian tidak bercadang mewajibkan cadangan ini kerana kami yakin semua PIBG mempunyai kaedah mereka sendiri. Cuma, saya rasa ia langkah terbaik untuk mengelak ada suara sumbang pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta ibu bapa memahami identiti yang sudah wujud di sesetengah sekolah sejak zaman berzaman seperti warna samping khas, baju batik, tali leher dan sebagainya kerana ia adalah lambang yang menjadi kemegahan setiap warga sekolah sebelumnya.

"Diakui memang ada sekolah memasukkan bayaran untuk pakaian khas seperti itu dan ia tidak pernah menjadi isu sebelum ini kerana ibu bapa memahami keperluan pakaian itu diwujudkan. Namun, kenapa akhir-akhir ini isu itu ditimbulkan," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, masyarakat perlu sedar bahawa begitu banyak bantuan disalurkan kerajaan bagi memastikan konsep pendemokrasian pendidikan dapat berjalan sempurna di negara ini.

Antaranya, kerajaan terpaksa memperuntukkan sehingga RM2.75 bilion bagi pelbagai bentuk subsidi seperti buku teks, pengecualian yuran khas kerajaan, aktiviti kokurikulum, biasiswa serta sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAM), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan yang paling utama ialah pengecualian yuran peperiksaan.

"Jadi, apa salahnya ibu bapa berkorban sedikit dengan memberi sumbangan yang tidak seberapa untuk pendidikan anak mereka. Kalau nak anak lebih berjaya, semuanya memerlukan kemudahan yang lebih berkualiti," katanya.


Mencari alternatif elak debat isu yuran

Kementerian wajar perjelas terperinci selesai salah faham pemansuhan bayaran

SAMBUTAN tahun baru kali ini pastinya menjadi detik sukar bagi Kementerian Pelajaran kerana terpaksa berdepan dengan rungutan serta kritikan banyak pihak berkisar kepada isu bayaran tambahan sama ada melalui laporan berita, mahupun melalui kepemimpinan badan bukan kerajaan (NGO).

Isunya bukan perkara baru kerana umum sedia maklum, jenis bayaran dipertikaikan hakikatnya sudah lama dilaksanakan majoriti sekolah di negara ini. Namun, kali ini ombak kritikannya cukup kuat disuarakan di mana saja.

Mungkin ramai juga menyedari, isu ini mula dibangkitkan apabila kebanyakan ibu bapa merungut kononnya berasa tertipu apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan yuran khas kerajaan dan melaungkan konsep persekolahan percuma kepada semua pelajar di negara ini.

Banyak juga yang kerajaan belanjakan kerana berdasarkan Kementerian Pelajaran, sejumlah RM2.75 bilion diperuntukkan menampung segala bantuan seperti buku teks, yuran khas, kokurikulum, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan yuran peperiksaan.

Justeru, salah siapa isu ini tiba-tiba meletus sedangkan kerajaan berjuang bermati-matian mendemokrasikan pendidikan untuk semua lapisan masyarakat? Salah kementerian, pihak sekolah, PIBG atau salah ibu bapa itu sendiri?

enyelami isu ini, tidak adil semua pihak menuding jari kepada kementerian semata-mata kononnya tidak prihatin dan serius dalam menangani masalah rakyat. Tidak adil terus menikam kepemimpinan dalam kementerian kononnya tidak peka dengan masalah ibu bapa.

Memang benar, kementerian mungkin begitu teruja mengumumkan konsep persekolahan percuma kepada semua. Mereka mungkin terlupa dengan sentimen dan sensitiviti masyarakat di negara ini yang kerap tergelincir dalam menafsirkan sesuatu.

Contohnya, bagi penduduk di pedalaman atau golongan yang kurang bijak menyelami maksud sebenar akan beranggapan pengumuman itu menandakan sesiapa saja yang masuk ke sekolah tidak perlu membayar walau sesen pun. Bukankah itu maksud percuma?

Silapnya, kementerian tidak menjelaskan secara terperinci kepada semua pihak berkenaan apakah yuran yang dimansuhkan dan apakah bayaran yang masih dikekalkan serta perlu dibayar individu berkemampuan.

Bukan tuduhan kerana hakikatnya kementerian sendiri melalui Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, mengakui bahawa pihak sekolah tidak memberi penerangan jelas kepada ibu bapa berhubung pemansuhan yuran rasmi dan bayaran tambahan hingga menyebabkan kekeliruan.

Pihak sekolah pula dipersalahkan sedangkan mereka tidak mendapat cukup ruang dan masa untuk memastikan semua ibu bapa dimaklumkan, malah mustahil pihak sekolah boleh memandai-mandai jika kementerian tidak mengarahkan.

Namun, pelik juga dengan sikap ibu bapa di negara ini. Sudah diberi betis, peha pula yang mereka minta. Besar sangatkah bayaran tambahan yang dikenakan hinggakan mereka berhabisan mempertikai dan melenting? Mahal sangatkah nilainya jika dibandingkan dengan kualiti pendidikan yang bakal anak mereka nikmati.

Apabila diselami lebih mendalam isu ini, pastinya majoriti masyarakat akan bersetuju bahawa kebanyakan ibu bapa yang kuat mengkritik adalah kelompok yang tidak suka menjengah mesyuarat PIBG dan jarang ambil tahu perihal sekolah.

Mereka ini hanya akan melenting apabila tiba-tiba dihulurkan senarai bayaran yang perlu dibayar sedangkan jumlah itu hakikatnya sudah dipersetujui majoriti ahli PIBG yang lain. Justeru, wajarkah mereka menuding jari telunjuk jika empat jari lagi tertuding ke arah sendiri?

Dari sudut guru pula yang memainkan peranan sebagai 'ceti tak bertauliah' setiap kali ditugaskan mengutip bayaran sebegini, terkadang mereka juga terlupa kredibiliti ketika menjalankan tugas.

Pasti ada kelompok guru yang kerap bertanya mengenai yuran dengan pelajarnya secara terbuka di dalam kelas, lantaran takut 'tewas dalam persaingan' dengan kelas lain bagi menentukan kelas mana paling cemerlang dalam soal kutipan yuran.

Mangsanya pelajar dan ibu bapa akan menjadi lebih tertekan apabila anak mereka balik ke rumah dengan mulut muncung dan mendesak ibu bapa segera menyelesaikan bayaran lantaran malu ditanya saban hari di dalam kelas.

Justeru, apapun perdebatannya dan tanpa mengambil kira siapa yang perlu dipersalahkan, rasanya kementerian sebagai bapa kepada sistem pendidikan negara harus mencari alternatif dengan mewujudkan garis panduan khusus bagi mengelakkan isu yuran ini terus menghiasi dada akhbar pada setiap tahun.

Kementerian perlu mengenal pasti apa yang perlu dan apa yang tidak sesuai dikutip daripada pelajar. Jika kini, ada sekolah yang mengenakan pelbagai jenis bayaran seperti penyelenggaraan tandas dan tuala wanita, jangan pula nanti sekolah turut mengenakan bayaran untuk tempat letak kenderaan. Pelik tapi tidak mustahil.


Penetapan bayaran perlu jadi agenda mesyuarat PIBG


KEMENTERIAN Pelajaran sewajarnya lebih bertegas dengan mewajibkan beberapa prosedur bagi memastikan kaedah penetapan bayaran tambahan serta sumbangan PIBG dan kadarnya mengikut garis panduan ditetapkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Dr Mohd Ali Hassan, berkata antara prosedur perlu diwajibkan ialah memastikan aspek penentuan jumlah bayaran serta keperluannya dimasukkan sebagai agenda wajib dalam setiap mesyuarat agung PIBG.

“Selama ini perkara itu (bayaran tambahan) tidak pernah menjadi agenda penting, malah ada sekolah langsung tidak membincangkannya dalam mesyuarat agung PIBG. Saya harap kementerian wajibkan ia menjadi agenda utama.

“Semua keputusan berkenaan bayaran tambahan serta sumbangan PIBG dibuat dalam mesyuarat agung dan diputuskan bersama. Ia juga perlu dimuktamadkan dalam mesyuarat yang sama. Namun, jika dalam tempoh selepas mesyuarat, ada pula pindaan hendak dibuat, mesyuarat agung tergempar perlu diadakan.

“Jika ia menyusahkan, kementerian perlu wajibkan semua perubahan mengenai yuran mendapat maklum balas ibu bapa dalam bentuk edaran borang kaji selidik supaya semua ibu bapa dapat menyatakan persetujuan dan tidak menimbulkan salah faham ketika sesi persekolahan dibuka,” katanya.

Selain itu, Dr Mohd Ali mahu kementerian turut mewajibkan pihak sekolah mengedarkan pekeliling atau makluman kepada ibu bapa selewat-lewatnya dua minggu sebelum sesi persekolahan dibuka bagi mengingatkan ibu bapa mengenai jumlah dan jenis bayaran tambahan perlu dibayar.

engulas konsep bayaran ansuran yang diumumkan kementerian baru-baru ini, beliau berkata ia adalah pengumuman yang menunjukkan keprihatinan kementerian, namun pada dasarnya akan membebankan guru serta memberi kesan buruk kepada pelajar.

“Guru akan berasa bertanggungjawab sentiasa mengingatkan pelajarnya mengenai yuran dan ini tidak langsung akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Bagi pelajar pula, psikologi mereka pasti terganggu apabila setiap bulan, guru bertanyakan yuran kepada mereka.

“Jadi, saya cadangkan konsep ansuran yuran ini lebih sesuai dibuat secara penggal iaitu dua kali setahun sama seperti diamalkan institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Ghani Bina, berkata isu bayaran tambahan sewajarnya tidak dibangkitkan kerana pada dasarnya pendidikan di negara ini jauh lebih murah berbanding beberapa negara maju lain.

Beliau turut menyelar sikap sesetengah ibu bapa yang suka melenting dan merungut sebarang keputusan pihak sekolah atau PIBG sedangkan mereka tidak hadir dalam mesyuarat agung PIBG untuk menyatakan pandangan secara terbuka.

“Mereka yang bising selalunya mereka yang tak hadir mesyuarat. Nak kata mereka tak mampu, di rumah ada tiga kereta. Namun, apabila timbul isu sebegini, kelompok inilah yang paling kuat melenting.

“Saya setuju dengan cadangan kementerian supaya PIBG edarkan borang kaji selidik bagi melihat maklum balas mereka mengenai sebarang keputusan berkaitan yuran,” katanya.

Bagi YDP PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mutiara, Steward Lau, ibu bapa sewajarnya menggunakan saluran yang betul jika berasa tidak puas hati dengan sebarang perkara, bukan dengan merungut atau menulis surat kepada pihak media.

“Biasanya, semua jenis bayaran bukan ditentukan sendiri jawatankuasa PIBG kerana ia akan melalui proses mesyuarat bersama pihak sekolah.

“Apabila menteri kata tak payah bayar, PIBG menjadi mangsa dan tersepit kerana bagaimana kami (PIBG) nak dapatkan duit untuk program yang sudah dirancang. Nak cetak kertas soalan pun kena ada duit,” katanya.

YDP PIBG SMK Aminuddin Baki, Rosley Othman pula berkata, ibu bapa sewajarnya tidak mempersoalkan apa yang sekolah minta, tetapi fikirkan apa yang mereka boleh bantu sekolah dalam meningkatkan kualiti pendidikan anak mereka.

“Pihak sekolah bukan suka-suka kutip bayaran daripada ibu bapa. Semuanya untuk anak mereka. Contohnya, yuran penyelenggaraan tandas dikutip untuk kebersihan tandas yang anak mereka gunakan. Takkan sekolah kluster seperti kami, tetapi tandasnya teruk,” katanya.

YDP PIBG SMK Seri Garing, Subramaniam Veeriah menafikan dakwaan isu bayaran tambahan hanya dibangkitkan bangsa Melayu saja kerana di sekolahnya yang majoriti pelajar adalah murid India, masalah sama turut dibangkitkan.

Malah, katanya, lebih memburukkan keadaan, apabila kementerian memberi kelonggaran, lebih ramai yang enggan membayar dengan alasan Menteri Pelajaran sendiri mengeluarkan kenyataan tidak perlu bayar.

BH 14/01/08



Kos pendidikan di Singapura, Indonesia lebih tinggi

BEBERAPA pemimpin persatuan mewakili ibu bapa di negara jiran menyifatkan bayaran bagi pendidikan di negara ini adalah termurah dan terbaik di kalangan negara Asia, malah boleh dikategorikan antara terbaik di dunia.

Presiden Pertubuhan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (Taman Bacaan), Abdul Halim Kader, berkata jika dibandingkan kos pembelajaran di Singapura, ibu bapa di Malaysia sewajarnya berasa lebih bertuah kerana tidak terlalu dibebani bayaran pendidikan tinggi seperti terpaksa dibayar pelajar di republik itu.

“Kebanyakan PIBG sekolah di Malaysia hanya mengenakan bayaran (sumbangan) tahunan RM30 hingga RM50 saja sedangkan di Singapura setiap pelajar perlu membayar hingga RM40 sebulan.

“Malah, di Singapura, ibu bapa perlu membayar sendiri setiap program kelas tambahan dijalankan, berbeza dengan pelajar di Malaysia kerana kebanyakan kelas tambahan di sekolah diberi percuma,” katanya.

Katanya, kos kelas tuisyen di Singapura juga jauh lebih mahal berbanding negara ini kerana ibu bapa perlu membayar hingga RM400 setahun bagi program kelas tambahan anjuran pertubuhan setempat dan RM150 sebulan bagi satu subjek jika mengikuti kelas tuisyen di luar sekolah.

Namun, katanya, berbeza dengan negara ini, di Singapura tiada yuran PIBG dikenakan kerana semua bayaran dikenali sebagai yuran sekolah dan jumlah itulah akan dibahagikan semua program kerjasama antara PIBG dan sekolah.

eliau berkata, ibu bapa di Malaysia nyata sangat beruntung kerana diberi banyak pengecualian yuran tanpa mengira sama ada mereka berada atau sebaliknya.

“Rasanya, belum pernah berlaku dalam mana-mana negara di dunia, Menteri Pelajaran tidak ambil kisah jika ibu bapa tidak mampu membayar yuran. Di Singapura, tak bayar yuran, buku rekod pelajar akan ditahan. Jika memang tidak mampu bayar, ibu bapa perlu membuat rayuan rasmi kepada pengetua sekolah. Di Malaysia, menteri sendiri sebut, tak mampu tak perlu bayar.

“Ia jelas membuktikan kerajaan Malaysia begitu serius memberikan pendidikan terbaik kepada semua rakyatnya tanpa mengira status ekonomi keluarga,” katanya.

Menjelaskan konsep pembayaran yuran di Singapura, pelajar sekolah rendah di sana perlu membayar yuran bulanan sebanyak RM24, manakala bagi pelajar Melayu di sekolah menengah yuran bulanan yang perlu dibayar RM35. Bagi bukan Melayu di sekolah menengah pula, yuran bulanan perlu dibayar sebanyak RM46.

“Apapun masalahnya, setiap bulan ibu bapa perlu membayar yuran sebanyak itu. Jika ada masalah, mereka perlu buat rayuan secara rasmi. Tidak ada konsep bayaran ansuran di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pendidikan Kota Batam Indonesia, Hardi Selamat Hood, berkata ibu bapa di sana perlu membayar RM100 hingga RM150 bagi tujuan pembelian pakaian serta peralatan sekolah kerana pihak sekolah tidak membenarkan sebarang pembelian di luar.

Bagi yuran lain pula, ibu bapa perlu membayar sebanyak RM10 hingga RM15 sebulan bagi sekolah rendah dan RM20 hingga RM35 bagi sekolah menengah.

Justeru, membandingkan jumlah yuran itu dengan kos bayaran tambahan di Malaysia, beliau berkata, pendidikan di negara ini pada dasarnya jauh lebih murah dan dapat dinikmati semua kelompok masyarakat tidak kira miskin atau berada.

BH 14/01/08